Rakyat Makin Susah… Kembalikan Bantuan Rakyat – Azhari Shaari

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari merasa simpati dan berasa sedih kerana ramai yang terkesan akibat COVID-19 lebih-lebih lagi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan.

Jelas beliau, ramai yang marah kerana ‘Total Lockdown’ yang dibuat tidak bersungguh-sungguh, ianya seolah-olah rakyat telah sia-sia selama empat minggu dan mungkin berbulan-bulan lagi.

“Lebih teruk lagi bantuan yang kerajaan umumkan seolah-olah kurang membantu akibatnya ramai rakyat sengsara.Sebenarnya kerajaan boleh sahaja membantu dengan memberikan pelbagai bantuan seperti moratorium secara automatik kepada semua seperti PKP 1, tahukah anda?

“Bank-bank di Malaysia masih banyak mencatatkan keuntungan walaupun moratorium dilaksanakan pada tahun lepas. Seperti contoh Maybank mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM2.39 billion hanya pada suku pertama tahun ini dan ini bermakna bank tidak akan rugi jika memberi moratorium kepada rakyat.

“Dahulu ketika krisis kewangan tahun 1997, banyak bank-bank hampir bangkrap atau muflis dan kerajaan menggunakan wang rakyat untuk membantu. Tapi sekarang ini apabila rakyat susah bank-bank sepatutnya berkorban pula untuk rakyat, “ katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambah beliau lagi amat bersetuju pandangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang menyarankan kerajaan mengembalikan diskaun elektrik serta merta ketika Negara masih lagi dilanda pandemik.

“Saya amat bersetuju dengan Datuk Seri Najib Razak supaya kerajaan kembalikan diskaun elektrik serta-merta. TNB juga mencatat keuntungan pada suku pertama tahun ini sebanyak RM973.5 juta ini bermaksud TNB tidak rugi ketika negara dilanda COVID-19 ini.

“Dengan kembalinya diskaun elektrik ini dapatlah rakyat Malaysia duduk di rumah dengan tenang dan tidak risau akan bil elektrik yang melambung. Ada yang mengeluh bil mereka meningkat 300% pada bil Jun 2021, dahlah pendapatan mereka berkurangan akibat ‘total lockdown’ yang tidak total ini, malah kos sara hidup juga semakin meningkat,” katanya lagi.

Dalam pada itu beliau mengharapkan agar kerajaan dapat meluluskan pengeluaran I-Sinar ataupun I-Lestari yang kedua bagi membantu rakyat yang hilang pekerjaan dan sumber pendapatan.

“Kerajaan perlu membuat peringkat kedua i-Sinar atau i-Lestari bagi membantu rakyat yang telah kehilangan kerja dan sumber pendapatan. Ini penting kerana saya risau apabila golongan ini sudah tiada wang, mereka berpotensi untuk membuat pinjaman pada tempat yang tidak sepatutnya akibat desakan hidup.

“Ini bukan soal simpanan untuk hari tua nanti, tapi ini soal sekarang dan diwaktu ini untuk menyediakan makanan di atas meja,” ujarnya.

Selain itu, menurut beliau lagi kerajaan perlu mempercepatkan program pemberian vaksinasi kepada rakyat.

“Benarkan juga pihak swasta membeli vaksin mereka sendiri untuk diberikan kepada pekerja mereka. Ini dapat mengurangkan dan menjimatkan wang rakyat serta meningkatkan imuniti kelompok negara dengan kadar segera.

“Saya berharap Malaysia dapat bebas dari COVID-19 dengan segera dan kerajaan dapat membantu rakyat dengan lebih banyak lagi agar dapat mengurangkan penderitaan rakyat. Sidang Parlimen juga perlu dibuka dengan segera bagi membincangkan masalah rakyat,” tegasnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.