UMNO Umpama Pohon Rendang, Terus Berjuang Demi Rakyat

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mereka yang menyatakan UMNO sudah tidak relevan suatu kesilapan besar malah mereka juga sedang bermimpi di siang hari apabila mengandaikan yang mustahil dan bukan-bukan.

Teas Ahmad Zahid UMNO sebaliknya umpama pohon besar yang sedang menanti detik kembali berbuah meskipun pernah seakan-akan nyaris tumbang dipukul ribut, namun akarnya begitu utuh lagi kuat.

“Pohon UMNO nan luhur tetap teguh berpacak memayungi segenap naungannya. Rakan-rakan UMNO sekalian. UMNO dilahirkan dengan air mata pengorbanan orang Melayu.

“UMNO dilahirkan di Istana Melayu dan parti terbesar orang Melayu sejak 11 Mei 1946. UMNO mendepani rancangan Malayan Union oleh British demi survival bangsa Melayu.

“UMNO mempertahankan kedaulatan institusi diraja dan Raja-Raja Melayu. UMNO mengangkat kepentingan Melayu lagi memperkasakan syariat agama. UMNO jua sebuah parti politik semangat nasionalisme Melayu berpaksikan Islam. Kerana itu UMNO masih bertapak di hati Melayu disebabkan asas penubuhannya yang jelas,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Bagaimanapun tegas Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, UMNO tidak pernah sama sekali mengenepikan hak bukan Melayu.

Tegasnya lagi sejarah berpuluh tahun UMNO mengemudi teras pentadbiran negara sebagai bukti.

“Sahabat-sahabat UMNO sekalian. UMNO akan kembali berjuang dalam PRU akan datang. Amalan kita bermuafakat dan tidak berpecah belah. Serumpun bak serai, sesusun bak sireh.

“Perjuangan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) jauh lebih murni. Demi sebuah kebenaran dan kewajipan. Insya-Allah rakyat bersama UMNO kerana UMNO akan terus bersama rakyat,” tambahnya. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.