Sidang Parlimen Perlu Bersidang Tumpu Isu Rakyat Berdepan COVID -19

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Ahli-ahli Parlimen daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjunjung kasih di atas titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang telah diadakan pada 16 Jun 2021 lalu berhubung keperluan mengadakan persidangan Parlimen secepat mungkin serta memperkasa langkah-langkah kawalan penularan wabak COVID-19 dalam negara.

Dalam satu kenyataan bersama semua Ahli Parlimen BN, menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri BN, mereka bersetuju agar Parlimen bersidang semula mengikut Peraturan Mesyuarat sedia ada atau mengikut apa-apa kesesuaian pindaan yang diperlukan.

“Kami amat mengharapkan sidang Parlimen ini akan dapat memberi tumpuan kepada isu-isu yang dihadapi rakyat dalam mendepani pandemik COVID-19. Oleh yang demikian dan bagi menjunjung titah Tuanku supaya suhu politik dapat diredakan maka kami setuju untuk tidak menyokong usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan.

“Ahli-ahli Parlimen daripada parti UMNO dan BN juga sepakat untuk terus mendukung Pelan Pemulihan Negara yang telah dibentangkan oleh Kerajaan sebagai suatu usaha dalam memperkasa langkah-langkah kawalan penularan wabak COVID-19 dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Menteri serta Timbalan Menteri daripada parti UMNO dan BN akan memastikan komitmen sepenuhnya dalam melaksanakan tugas dan peranan masing-masing terutamanya melibatkan tugas dan portfolio yang berkait secara langsung dalam mengekang penularan COVID-19, pelaksanaan vaksinasi serta pemulihan ekonomi rakyat dan negara.

Apa yang pasti keutamaan Ahli-ahli Parlimen daripada UMNO dan BN adalah demi kelangsungan hidup rakyat dengan fokus kepada keselamatan dan kesejahteraan di samping masa hadapan negara Malaysia.- UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.