Misi Bantuan Kemanusiaan, UMNO Bawa Solidariti Malaysia Demi Rakyat Palestin – Abdul Azeez

KAHERAH, 23 Jun – Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) yang berada dalam Misi Bantuan Kemanusiaan Palestin (HM4P) membawa suara solidariti rakyat Malaysia sebagai tanda prihatin bagi merealitikan usaha menyalurkan bantuan kepada penduduk Palestin yang menjadi mangsa kezaliman Israel.

Pengerusi BKUM merangkap ketua misi terbabit, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menzahirkan rasa syukur kerana sehingga ke hari ini, pergerakan misi lancar sebagaimana yang dirancang.

“Terima kasih kepada semua penyumbang ke arah membantu Masjid Al-Aqsa dengan sumbangan telah diberikan kepada Menteri Awqaf dan Hal Ehwal Agama Jordan, Dr Mohammad Al-Khalaileh.

“Setakat hari ini kami bersyukur kerana kami dapat kejayaan melaksanakan sepertimana yang diamanahkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. BKUM telah sampai ke sini… hari ini tiba di Kaherah untuk cuba berusaha masuk ke Gaza,” maklumnya.

Beliau berkata demikian dengan disertai Timbalan Pengerusi BKUM merangkap Pengerusi Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya menerusi siaran lintas langsung oleh Datuk Dr Noor Azizan Abd Majid yang turut menyertai misi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah. Lintas langsung ini diusahakan oleh UMNO Online menerusi laman facebooknya, malam tadi.

Dalam kesempatan ini, Abdul Azeez yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Ahli Parlimen Baling meminta agar rakyat Malaysia terus mendoakan anggota misi agar berjaya melaksanakan urusan seterusnya.

“Saya meminta supaya rakyat Malaysia terus berdoa… mendoakan agar misi kami berjaya sampai ke sasaran, dapat memberikan bantuan dan yang lebih penting menyatakan solidariti kita sebagai rakyat Malaysia terhadap rakyat Palestin.

“BKUM bukan hanya jaga rakyat Palestin di Malaysia sahaja, di Jordan kita telah bantu dan insya-Allah hari ini kita datang ke sini untuk masuk ke Gaza dengan niat murni dan harapan untuk bantu rakyat Palestin, kita juga bawa barangan bantuan dan juga pegawai perubatan selain CIDB untuk kita bincang bagaimana nak bangunkan kawasan yang terjejas.

“Kita doakan yang terbaik untuk kita dapat capai matlamat dan apapun kami akan ikut SOP dan segala arahan yang dikeluarkan oleh pejabat kedutaan di Mesir yang mewakili Malaysia. Insya-Allah saya yakin dan percaya bahawa kita akan dapat melaksanakan apa yang telah diamanahkan kepada BKUM,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau turut menzahirkan rasa terima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah memaklumkan kepada Presiden Mesir Al-Sisi selain usaha yang digerakkan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan rakat sejawatnya di Kaherah.

Terdahulu, Abdul Azeez mengetuai lima anggota misi telah menyampaikan sumbangan berjumlah USD200,000 (RM828,000) kepada Tabung Al-Aqsa yang turut disaksikan oleh Pengerusi Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Umar Fahmi Al-Kiswani.

Seterusnya, HM4P ini telah menyalurkan bekalan makanan dan keperluan harian kepada 1,000 keluarga Palestin di empat kem pelarian di Jordan iaitu Kem Pelarian Palestin di Al-Baqa’a, al-Rusaifah, Hitthin dan Wahadad.

Abdul Azeez yang tiba di Kaherah hari ini telah bergabung dengan anggota misi HM4P di Mesir, dan dijangka memasuki wilayah Gaza minggu ini, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa Mesir. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.