Misi Bantuan Kemanusiaan, UMNO Salur Bekalan Makanan Buat 1,000 Keluarga Pelarian Palestin

AMMAN (Jordan), 22 Jun – Misi Bantuan Kemanusiaan Palestin (HM4P) anjuran Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) telah menyalurkan bekalan makanan dan keperluan harian kepada 1,000 keluarga Palestin di empat kem pelarian di Jordan petang semalam.

Empat kem terbabit adalah Kem Pelarian Palestin di Al-Baqa’a, al-Rusaifah, Hitthin dan Wahadad yang meliputi sumbangan bekalan makanan dan keperluan harian dengan disampaikan oleh Ketua Misi HM4P merangkap Pengerusi BKUM, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim di Kem Pelarian Palestin Al-Baqa’a.

Abdul Azeez yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Ahli Parlimen Baling berharap sumbangan itu akan meringkan beban pelarian Palestin, termasuk ibu tunggal dan warga emas, ketika mereka turut berdepan kesusahan hidup akibat pandemik COVID-19.

“Kita agihkan 1,000 pek makanan dan barangan keperluan ini di empat kem pelarian sasaran.

“Oleh kerana mematuhi SOP COVID-19, maka proses agihan hanya dilakukan di Kem Al-Baqa’a dan bantuan selebihnya akan disalurkan Lajnah Zakat Jordan kepada kesemua 1,000 keluarga pelarian Palestin yang dibantu,” kata Abdul Azeez kepada media di Kem Pelarian Palestin Al-Baqa’a.

Sumbangan bekalan makanan dan keperluan harian yang mencukupi untuk tempoh selama sebulan bagi sesebuah keluarga pelarian itu, diagihkan dengan kerjasama Lajnah Zakat Jordan.

Hadir sama pada majlis penyerahan sumbangan itu adalah wakil Lajnah Zakat Jordan di Al-Baqa’a, Hashim Muhammad Al-Titi dan Timbalan Pengerusi BKUM merangkap Pengerusi Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.

Nazwa al-Anali, 50, Pelarian Palestin.

Kem Pelarian Palestin Al-Baqa’a antara kem pelarian padat di Amman dengan populasi lebih 200,000 pelarian Palestin yang majoritinya melarikan diri dari wilayah konflik itu pada 1948 selepas pembentukan negara haram Israel.

Pelarian Palestin yang juga ibu tunggal, Nazwa al-Anali, 50, dari Khalel, mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia dan UMNO di atas sumbangan itu yang sedikit sebanyak membantu meringankan beban pelarian Palestin di Jordan.

“Semoga bantuan ini bermanfaat untuk semua kerana keadaan sekarang tidak bagus. Insya-Allah,” katanya yang dilahirkan di Kem Al-Baqa’a pada 1971 selepas ibu bapanya diusir dari tanah Palestin pada 1948 oleh rejim Israel.

Statistik Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) menyatakan terdapat lebih dua juta pelarian Palestin berdaftar dengan badan dunia itu dan menerima bantuan langsung untuk kelangsungan hidup.

Abdul Azeez yang mengetuai lima anggota HM4P tiba di Jordan sejak Sabtu lalu sebelum bertolak ke Kaherah hari ini untuk bergabung dengan anggota misi HM4P di Mesir, dan dijangka memasuki wilayah Gaza minggu ini, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa Mesir.

Media melaporkan Mesir akan memudahkan laluan ke Gaza kepada badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia melalui sempadan Rafah hasil perbincangan di antara Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Presiden Mesir Al-Sisi selain usaha yang digerakkan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan rakat sejawatnya di Kaherah.

Misi HM4P selama dua minggu bermula 19 Jun lalu bertujuan menyatakan solidariti rakyat Malaysia kepada warga Palestin selain menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk kewangan, bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan warga Palestin terjejas di Gaza yang diserang tentera Israel bulan lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.