Segerakan Sidang Parlimen Dalam Tempoh 14 Hari Daripada Hari Ini – Jazlan Yaakub

KUALA LUMPUR, 21 Jun – UMNO Kelantan menyokong penuh kenyataan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selari dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.

Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata kesuburan demokrasi perlulah dihormati oleh semua pihak sejajar dengan prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan yang telah dijunjung.

“Sidang Parlimen kali ini amat mustahak untuk disegerakan bagi membolehkan suara, harapan dan pelbagai tuntutan rakyat yang sedang dalam keresahan dan kesempitan di kala pandemik COVID 19 dapat disuarakan dan dibahaskan seterusnya diangkat secara rasmi oleh wakil-wakik yang mereka pilih melalui sistem demokrasi berparlimen.

“Rakyat perlu tahu dan mendapat penjelasan secara tuntas daripada pihak Kerajaan bagi setiap perbelanjaan yang banyak menimbulkan persoalan tentang ketirisan, seterusnya memberikan check and balance kepada setiap tindakan kerajaan yang meragukan sepanjang dalam tempoh darurat berlangsung,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Tambah Ketua Umno Bahagian Machang itu lagi, Proklamasi Darurat ini perlu ditamatkan selewat-lewatnya 1 Ogos 2021 kerana jelas gagal menangani dan melandaikan lengkuk jangkitan wabak COVID19, sebaliknya lebih digunakan oleh Kerajaan untuk tujuan political move pihak tertentu.

“Justeru, UMNO Kelantan mendesak kerajaan tanpa sebarang helah dan dalih untuk segera mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada hari ini dengan menggunakan kaedah peraturan yang telah termaktub di dalam Ordinan Darurat 2021 sebagaimana yang disuarakan oleh rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.