Misi Bantuan Kemanusiaan Palestin: UMNO Sumbang USD200 Ribu Kepada Masjid Al-Aqsa

AMMAN (Jordan), 21 Jun – Insiden serangan pihak berkuasa Israel ke atas Masjid Al-Aqsa bulan lalu menyaksikan masjid suci umat Islam itu mengalami kerosakan, terutama di bahagian pintu, tingkap dan klinik di dalam kompaun masjid berkenaan.

Susulan insiden itu, Biro Kebajikan UMNO Malaysia melalui Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Palestin (HM4P) yang tiba di sini pada Ahad telah menyalurkan sumbangan USD200,000 (RM828,000) kepada Tabung Al-Aqsa di bawah Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Agama Jordan bagi membaikpulih, menambahbaik dan memenuhi keperluan berkaitan pengurusan dan penyelenggaraan Masjid Al-Aqsa.

Penyerahan dana itu disampaikan Ketua Misi HM4P merangkap Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kepada Menteri Awqaf dan Hal Ehwal Agama Jordan, Dr Mohammad Al-Khalaileh dalam satu majlis ringkas di pejabat menteri itu di Amman semalam.

Turut hadir menyaksikan penyerahan sumbangan itu adalah Duta Besar Malaysia ke Jordan, Datuk Jilid Kuminding; Pengarah Direktorat Al-Quds Awqaf, Dr Abdul Satar Al-Qudah; Pengerusi Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Umar Fahmi Al-Kiswani dan Timbalan Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia, Datuk Dr Datuk Fathul Bari Mat Jahya.

“Penyerahan dana ini adalah bertujuan menyampaikan solidariti kita kepada rakyat Palestin, itu keutamaan kita,” kata Abdul Azeez selepas majlis penyerahan dana sumbangan kepada Masjid Al-Aqsa di sini, semalam.

Abdul Azeez berkata sumbangan itu disampaikan secara terus kepada Masjid Al-Aqsa dengan disaksikan menteri bertanggungjawab di Jordan dan Pengerusi Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Umar Fahmi Al-Kiswani.

“Kita juga berhasrat untuk menyampaikan sumbangan kepada rakyat Palestin di Jordan,” kata Abdul Azeez yang akan bergerak ke Kaherah pada Selasa ini untuk meneruskan misi bantuan ke wilayah Gaza yang diserang Israel pada bulan lalu.

Sheikh Umar mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia, terutama UMNO, di atas sumbangan kepada Masjid al-Aqsa.

“Dana USD200,000 itu akan digunakan untuk pembangunan atau pemulihan Masjid Al-Aqsa kesan serangan (rejim zionis Israel) baru-baru ini, di mana kerosakan berlaku kepada beberapa bahagian masjid,” kata Pengerusi Imam Masjid Al-Aqsa itu.

Mengulas mengenai sumbangan itu, Jilid menyifatkan ia sebagai sumbangan pertama disalurkan secara terus kepada Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Agama Jordan yang bertanggungjawab mentadbir Masjid al-Aqsa dan Baitulmaqdis di bawah penjagaan Raja Abdullah II dari Jordan.

Difahamkan, Kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra turut menyampaikan sumbangan kepada Masjid Al-Aqsa dan warga Palestin.

Setiap tahun Jordan memperuntukkan USD18 juta untuk pengurusan dan penyelenggaraan Masjid al-Aqsa, termasuk membayar gaji pekerja-pekerjanya, termasuk lebih 300 petugas yang menjaga keselamatan masjid itu daripada diceroboh sewenang-wenangnya oleh zionis.

Misi HM4P selama dua minggu bermula 19 Jun lalu bertujuan menyatakan solidariti rakyat Malaysia kepada warga Palestin selain menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk kewangan, bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan warga Palestin terjejas di Gaza yang diserang tentera Israel bulan lalu.

Serangan rejim Israel ke atas wilayah konflik Gaza yang berakhir dengan gencatan senjata pada 21 Mei lalu menyaksikan kemusnahan harta benda selain mengorbankan lebih 250 warga Palestin, termasuk 66 kanak-kanak.

Media melaporkan lebih 77,000 warga Palestin di Gaza hilang tempat tinggal akibat serangan rejim Israel. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.