Misi Bantuan Kemanusiaan Palestin oleh Biro Kebajikan UMNO Berlepas Malam Ini

SEPANG, 18 Jun – Terkesan dengan situasi perang dan konflik di Palestin, Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) menghantar misi kemanusiaan Humanitarian Mission 4 Palestine (HM4P) ke Tebing Barat dan Gaza, Palestin, malam ini.

Misi kemanusiaan HM4P yang berlepas ke Amman, Jordan awal pagi nanti (19 Jun 2021) diketuai Pengerusinya yang juga Ahli Parlimen Baling merangkap Ketua Misi HM4P, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Misi selama dua minggu bermula 19 Jun 2021 itu bertujuan menyatakan solidariti rakyat Malaysia dan UMNO kepada warga Palestin selain menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk kewangan, bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan warga Palestin terjejas di Gaza yang diserang tentera Israel bulan lalu.

Majlis ringkas flag-off HM4P di Balai Pelepasan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disempurnakan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Seramai lima anggota HM4P, termasuk Timbalan Pengerusi BKUM, Datuk Fathul Bari Mat Jahya, berlepas ke Jordan malam ini yang kemudian akan diikuti enam anggota pasukan ‘recce’ HM4P yang akan berlepas ke Kaherah, Mesir, pada malam esok.

Menyusul seterusnya pasukan utama yang turut dianggotai pakar perubatan dan doktor serta wakil Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dijangka berlepas minggu depan selepas semua kelulusan diperolehi, terutama daripada Kerajaan Mesir.

Sekiranya berjaya memasuki wilayah konflik Gaza melalui pintu sempadan Rafah yang dikuasai Mesir, perancangan juga dibuat HM4P untuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Palestin bagi mencari ruang dan kerjasama untuk UMNO membantu Palestin dalam konteks kepentingan ummah di masa akan datang.
Terdahulu, serangan rejim Israel ke atas wilayah konflik Gaza yang berakhir dengan gencatan senjata pada 21 Mei lalu menyaksikan kemusnahan harta benda selain mengorbankan lebih 250 warga Palestin, termasuk 66 kanak-kanak.

Media melaporkan lebih 77,000 warga Palestin di Gaza hilang tempat tinggal akibat serangan rejim Israel. Di Tebing Barat, kemusnahan juga dilaporkan berlaku di Masjidil al-Aqsa akibat pertempuran antara pihak berkuasa Israel dengan warga Palestin yang mempertahankan masjid suci umat Islam itu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.