Demi Persaudaraan Sejagat, Selamat Berangkat Misi Kemanusiaan UMNO ke Palestin – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Misi Bantuan Kemanusiaan Palestin oleh Biro Kebajikan UMNO Malaysia yang digerakkan sebagai usaha bagi menyalurkan bantuan kepada masyarakat di Gaza dijadualkan akan berlepas ke sana awal pagi esok.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan merakamkan ucapan selamat berangkat kepada anggota misi yang diketuai oleh Pengerusi Biro terbabit, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

“Misi Kemanusiaan ini pergi atas nama Biro Kebajikan UMNO Malaysia. Selamat berangkat YB Datuk Seri Azeez, Datuk Dr Fathul Bari dan 30 ahli rombongan ke Palestin, ke Masjid Al-Aqsa, ke Gaza, esok awal pagi iaitu Jumaat malam Sabtu mereka akan pergi melalui Jordan dan Mesir,” katanya kepada UMNO Online.

Maklumnya, antara tujuan misi tersebut adalah untuk membantu membaiki Masjid Al-Aqsa dan juga memberi bantuan kepada rakyat Palestin yang dijajah, tertindas serta dizalimi di Gaza.

“Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah merestui Datuk Seri Azeez pergi mewakili parti dan banyak membantu dalam memastikan misi tersebut berjalan lancar. Presiden juga telah bertemu Duta Palestin ke Malaysia dan berkomunikasi dengan beberapa pimpinan Palestin yang berada di sana.”

Ujar Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian, UMNO juga telah mewujudkan tabung khusus untuk misi bantuan kemanusiaan Palestin dengan Presiden UMNO sendiri melancarkannya.

“Kepada yang ingin membantu, boleh bank-in ke Tabung Muafakat Palestin. Setiap ringgit yang diderma akan sampai ke pihak yang sepatutnya menerima di sana. Moga sedikit bantuan itu akan dibalas banyak oleh Allah SWT. Terima kasih atas sokongan dan bantuan yang telah dilakukan,” katanya lagi.

Dilaporkan, dalam usaha melaksanakan misi kemanusiaan, UMNO telah beberapa kali melaksanakannya dan menyokong perjuangan rakyat Palestin sehinggakan Abdul Azeez yang terdahulu juga mengetuai misi terbabit telah dilantik sebagai Duta Kehormat Palestin pada tahun 2012 oleh pemimpin Gaza.

Bukan itu sahaja, Biro Kebajikan UMNO bekerjasama erat dengan Persatuan Bulan Sabit Merah di Gaza, dan mempunyai hubungan akrab dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin yang bekerjasama sejak 2010 serta memberikan makluman berkaitan keperluan di sana. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.