Empat Tahun Kerajaan Perpaduan, Tiba Masa Kembali Kepada Rakyat – Mohd Razlan
KUALA LUMPUR, 25 Nov – Selepas empat tahun Kerajaan Perpaduan mentadbir negara, sudah tiba masanya mandat baharu dikembalikan kepada rakyat bagi membolehkan hala tuju negara dinilai semula menerusi proses demokrasi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, tempoh empat tahun merupakan tempoh yang cukup matang untuk sesebuah kerajaan dinilai, lebih-lebih lagi apabila purata tempoh antara Pilihan Raya Umum (PRU) di Malaysia adalah sekitar empat tahun dua bulan.
Menurut beliau, Kerajaan Perpaduan yang dibentuk hasil kerjasama gabungan parti berbeza ideologi telah berjaya mengekalkan kestabilan pentadbiran, selain mencatat perkembangan positif dari sudut ekonomi negara.
Katanya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.6 peratus setakat September turut menunjukkan ekonomi negara berada dalam keadaan baik dan stabil.

“Empat tahun bukanlah tempoh yang lama bagi sesebuah kerajaan. Namun, bagi satu penggal pilihan raya, empat tahun adalah tempoh yang sudah cukup matang,” katanya.
Mengulas kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), Mohd Razlan berkata, hubungan kedua-dua gabungan itu pada awalnya berdepan cabaran berikutan perbezaan ideologi politik, namun masing-masing berusaha memastikan kerajaan dapat berfungsi dengan baik.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh berkata, kestabilan di peringkat Kerajaan Pusat turut dapat dilihat menerusi keserasian anggota Kabinet dalam membuat keputusan serta sikap saling menghormati bidang tugas masing-masing.
Bagaimanapun, katanya, hubungan politik antara BN dan PH mula berdepan ketegangan apabila BN mengambil keputusan bertanding secara solo pada PRN Johor.
Menurut Mohd Razlan, PH ketika itu didakwa menggunakan pentas kempen untuk mengherdik dan mencaci BN, termasuk melabelkan gabungan itu sebagai pengkhianat serta menyindirnya sebagai ‘budak baru belajar’.
“PH memilih untuk menggunakan pentas kempen yang sepatutnya menjadi ruang membentangkan tawaran kepada rakyat untuk mengherdik dan mencaci,” katanya.
Beliau turut membangkitkan perbezaan ideologi dalam PH yang menurutnya menjadi antara cabaran utama dalam memastikan kerjasama politik dapat berjalan dengan baik.
Katanya, pendekatan PH dilihat lebih mengutamakan kestabilan ketika pilihan raya di Sarawak, namun ketegangan politik yang berlaku sebelum itu sudah memberi kesan kepada hubungan antara kedua-dua gabungan.
Mengulas lanjut, Mohd Razlan berkata, BN turut bersama-sama memikul tanggungjawab memastikan kestabilan kerajaan sepanjang empat tahun pentadbiran dan tidak seharusnya dipersalahkan apabila isu pembaharuan mandat dibangkitkan.
Justeru, beliau menegaskan bahawa usaha mendapatkan mandat baharu bukan bermaksud mana-mana pihak bersikap tamak kuasa, sebaliknya merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi.
“Rakyat berhak mendapat pembelaan daripada kerajaan. Dalam empat tahun ini, ekonomi berkembang dan kerajaan kekal stabil. BN berada dalam semua saat dan ketika itu.
“Namun, dalam demokrasi, setiap mandat ada tempohnya. Sampai masanya, mandat itu perlu diperbaharui,” katanya.
Beliau berkata, negara memerlukan nafas baharu menerusi satu proses ‘reset politik’ bagi membolehkan rakyat menilai semula hala tuju pentadbiran serta menamatkan polemik politik yang berpanjangan.
“Sebagai negarawan, kita kena berani dan percaya kepada sistem demokrasi yang kita junjung bersama. Kita kena percaya kepada pilihan rakyat.
“Kuasa bukan milik individu dan bukan juga milik mutlak mana-mana parti. Sudah tiba masanya kita kembali kepada rakyat untuk mendapatkan mandat baharu,” katanya lagi. – UMNO Online
