KLSCAH: Pengurangan Premium Cukai Tanah Perlu Penjelasan – Penganalisis

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Pengurangan premium cukai tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) masih menimbulkan tanda tanya, kata Penganalisis Politik dan Geostrategis, Profesor Dr Azmi Hassan.

Ujarnya, pengurangan harga secara drastik dari RM4.67 juta kepada RM1,000 turut membuka lembaran persoalan baharu mengenai status terkini tanah tersebut.

“Dua sebab isu ini mendapat perhatian adalah pertama, kerana pengurangan cukai tanah itu begitu banyak, daripada RM4.67 juta kepada RM1,000. Keduanya, bangunan itu terletak di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur.

“Sebenarnya, sebelum ini bangunan tersebut bertaraf komersial dan ditukar kepada taraf warisan. Perkara ini menimbulkan tanda tanya adakah penukaran status itu dilakukan untuk mendapatkan pengurangan premium cukai tanah?

“Sebelum ini, bangunan tersebut berstatus komersial dan terdapat aktiviti komersial di dalamnya. Pemilik bangunan itu juga mendapat manfaat dari segi kewangan daripada aktiviti komersial tersebut,” katanya kepada UMNO Online.

Tegasnya, perkara tersebut bukan berlaku kali pertama dan beliau menzahirkan keyakinan bahawa KLSCAH masih memegang status bangunan warisan dan bukan dengan tujuan untuk dikomersialkan.

“Jadi, perkara itu menimbulkan pertanyaan kerana ini bukan kali pertama bangunan bertaraf warisan ataupun sejarah diberikan pengurangan premium cukai tanah.

“Namun, saya pasti bahawa bangunan tersebut asalnya merupakan bangunan warisan dan bukan untuk tujuan komersial seperti KLSACH. Bangunan itu asalnya mempunyai kedai-kedai di dalamnya,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa pengurangan harga premium cukai tanah KLSCAH secara drastik menyebabkan kerajaan kehilangan begitu banyak jumlah pendapatan.

“Status komersial bangunan ini menimbulkan pertanyaan dan kesangsian. Adakah pengurangan itu diberikan kerana statusnya telah ditukar? Dalam hal ini, seperti yang dikatakan, pengurangan itu terlalu banyak.

“Pengurangan daripada berjuta-juta ringgit kepada hanya RM1,000. Apabila premium RM4.67 juta dikurangkan kepada RM1,000 selepas status bangunan itu ditukar, maksudnya pendapatan kerajaan berkurangan dengan begitu banyak sekali.

“Jadi, inilah yang dimaksudkan dengan isu ‘sakau’ dalam perkara bangunan warisan tersebut,” katanya lagi.

Pada 15 November, media melaporkan Kerajaan meluluskan pembaharuan pajakan tanah selama 99 tahun kepada KLSCAH, dengan premium tanah ditetapkan pada kadar nominal RM1,000 berbanding anggaran premium terdahulu sebanyak kira-kira RM4.67 juta.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata keputusan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Madani dalam melindungi mercu tanda bersejarah Kuala Lumpur, serta memastikan institusi yang mempunyai nilai warisan dapat terus berkhidmat  untuk generasi akan datang.

Perkara ini mendapat tentangan daripada pelbagai pihak kerana pengurangan cukai premium yang begitu drastik kerana ia menimbulkan persoalan besar mengenai kepentingan awam, dasar pemilikan tanah serta hala tuju penyusunan semula sosioekonomi bandar. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO