Pemuda UMNO Rafak Sembah Pohon Raja-Raja Melayu Perkenan Tiga Permohonan Utama Rakyat

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Sempena Perjumpaan Khas Raja-Raja Melayu esok, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia merafak sembah memohon perkenan Tuanku Raja-Raja Melayu agar mempertimbangkan tiga permohonan utama rakyat jelata.

Menurut Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, perkara pertama adalah memohon perkenan Raja-Raja Melayu menitahkan kerajaan menamatkan Darurat yang ternyata gagal mengawal pandemik COVID-19.

“Kedua, menitahkan kerajaan membuka segera Parlimen untuk bersidang bagi memastikan wujud akauntabiliti dan ‘semak dan imbang’ dalam aspek pengurusan negara.

“Ketiga, menitahkan kerajaan menambah bantuan khas terutamanya tunai kepada rakyat yang sedang menderita akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lanjutan moratorium tanpa caj, akses kepada i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Untuk rekod pada Rabu minggu lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billal Shah berkenan untuk menganjurkan sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, di sini pada 16 Jun.

Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini adalah atas inisiatif Al-Sultan Abdullah dan akan dipengerusikan baginda.

Menurut Ahmad Fadil, perbincangan ini berkaitan dengan usaha memerangi penularan jangkitan wabak COVID-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat dan ia kali kedua diadakan di Istana Negara sejak Al-Sultan Abdullah menaiki takhta pada 31 Januari 2019.

Kali pertama Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu dianjurkan dan berlangsung pada 25 Oktober lalu di Istana Negara. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.