Kerajaan Perlu Benarkan Premis Berkaitan PdPR Beroperasi

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan kebenaran kepada premis yang berkaitan dengan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) supaya boleh beroperasi sepanjang ‘total lockdown’.

Ini kerana katanya, beliau menerima keluhan daripada seorang rakan Facebook di ruangan komen di platform media sosialnya itu berkaitan kesukaran ibu bapa membantu anak mengikuti PdPR.

“Mereka berdepan kesulitan untuk ‘print’ kerja sekolah PdPR anak-anak mereka kerana kedai ‘printing’ ditutup.

“Saya percaya tidak semua ada peralatan percetakan. Terutama golongan B40 dan yang tinggal di kawasan pendalaman.

“Alat percetakan bukanlah keperluan penting di rumah mereka sebelum ini. Jika mahu membelinya walau secara ‘online’ menelan kos yang agak tinggi bagi sesetengah pihak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam ini.

Begitu juga ulas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, para guru pula dengan kreativiti dan kemampuan masing-masing mungkin boleh mencari jalan untuk bersama membantu apa kaedah dan penyelesaian bagi memudahkan semua pihak.

“Sebagai contoh sebelum ini ada pihak sekolah mewujudkan ‘station’ di lokasi strategik untuk mengedar dan mengutip bahan PdPR pelajar.

“Dalam masa yang sama kita juga perlu menjaga dan memastikan segala SOP (prosedur operasi standard) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelak rantaian jangkitan COVID-19.

“Semoga budi baik para guru kita mendapat keberkatan dan pahala besar. Biar jasa jadi kenangan,” kata Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.