Kaji Semula Strategi Pulih Sektor Pelancongan, Jangan Terhad Di Kawasan Tertentu Sahaja

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Pengerusi Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi memohon Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mempertimbangkan semula strategi mereka agar ia memberi impak yang positif kepada sektor pelancongan negara dan negeri Johor secara keseluruhan.

Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang itu, kesan daripada pandemik COVID-19 bukan sahaja di Kuching dan Langkawi malah dirasai di seluruh negara.

“Sektor pelancongan dan ekonomi negeri Johor sangat terkesan akibat penutupan sempadan Malaysia dengan Singapura. hotel, pemandu pelancong, homestay, taman tema, kedai makan, syarikat pelancongan, bas pelancongan semuanya terkesan.

“Saya percaya, setiap negeri mempunyai kawasan tumpuan pelancongan masing-masing dan pada pandangan saya, menteri seharusnya memberikan keutamaan juga kepada kawasan tumpuan pelancongan negeri lain,” tambahnya dalam satu perkongsian di Facebook.

Onn Hafiz memberi respon demikian berhubung kenyataan Menteri MOTAC Datuk Sri Nancy Shukri, sebagaimana laporan akhbar Berita Harian (bertarikh 14 Jun 2021) yang telah menyatakan bahawa kementerian hanya memberikan fokus kepada Kuching dan di Langkawi dalam strategi pemulihan awal sektor pelancongan negara.

Tegas Onn Hafiz lagi, strategi tersebut haruslah memberi kesan langsung kepada semua peringkat pemain industri dan bukan hanya melibatkan bahagian tertentu sahaja.

“Semoga rayuan saya ini dapat dipertimbangkan,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.