Kerajaan Perlu Jadi ‘Pemudahcara’ Dan Bukannya ‘Penyusahcara’ Untuk Rakyat – Asyraf

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Pemuda UMNO berpandangan tidak perlu ditetapkan tarikh tutup pendaftaran Program Imunisasi COVID – 19 Kebangsaan sebagaimana cadangan Ketua Penerangan PPBM.

Menurut Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pengalaman Pemuda Barisan Nasional (BN) sendiri serta Puteri UMNO mendapati pendaftaran vaksin terutamanya di luar bandar berdepan kesukaran.

“Pengalaman Pemuda BN dan Puteri UMNO membantu menggerakkan pendaftaran vaksin terutamanya di kawasan pedalaman dan luar bandar seluruh negara, ramai juga yang hadapi masalah literasi dan akses digital yang perlukan bantuan.

“Justeru, tidak perlu tetapkan tarikh tutup pendaftaran sebagaimana cadangan Ketua Penerangan PPBM walaupun berpengalaman menjadi penulis Manifesto PH dulu,” katanya menerusi catatan di Facebook, di sini hari ini.

Asyraf yang juga Pengerusi Pemuda BN menambah fokus harus diberikan bagi memastikan vaksin mencukupi untuk semua disamping meningkatkan kempen kesedaran dan membantu pendaftaran orang ramai terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Jelas beliau kerajaan seharusnya menjadi pemudahcara kepada rakyat bukannya penyusahcara dengan mengenakan pelbagai tekanan dan sekatan tanpa memahami kondisi dan situasi rakyat.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.