Jangan ‘Berkira’, Serap Segera Pegawai Perubatan Dan Jururawat Kontrak Ke Jawatan Tetap

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Pegawai Perubatan serta Jururawat yang dilantik secara kontrak sebelum ini dalam usaha membantu barisan hadapan dalam menangani pandemik COVID-19 seharusnya diserap terus ke jawatan tetap.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid ketika mengutarakan perkara tersebut di dalam Facebooknya berkata bukankah lebih elok mereka ini diserap terus sekarang memandangkan khidmat lebih 14,000 pegawai perubatan dan jururawat terbabit sangat ‘essential’ dalam perang melawan Covid-19.

“Semalam di FB saya lihat beberapa gambar petugas kesihatan. Kelihatan bertungkus lumus merawat pesakit COVID-19. Ada juga yang menjalankan tugas saringan dan memberi suntikan vaksin COVID -19 kepada anggota masyarakat. Betapa besar jasa dan pengorbanan para petugas kesihatan kita kepada rakyat dan negara.

“Lantas saya teringat kepada perutusan kerajaan yang turut menyentuh tentang lebih 14,000 pegawai perubatan dan jururawat lantikan kontrak baru-baru ini. Kerajaan telah memaklumkan tempoh perkhidmatan lebih 14,000 pegawai perubatan dan jururawat terbabit akan dilanjutkan sehingga tahun 2022.

“Ia dikatakan bertujuan meningkatkan kapasiti dan memperkukuh kesihatan awam dalam berdepan pandemik Covid-19.Ini bermaksud khidmat lebih 14,000 pegawai perubatan dan jururawat kontrak itu setakat yang dimaklumkan hanya sehingga tahun depan,” katanya.

Katanya lagi selepas tempoh tersebut tiada siapa tahu apa status mereka seterusnya dan mungkin kontrak perkhidmatan disambung lagi atau mungkin ditamatkan.

Justeru tambahnya bukankah lebih elok mereka ini diserap terus sekarang memandangkan khidmat mereka sangat-sangat diperlukan bagi memastikan sistem kesihatan tidak runtuh dan beroperasi dengan berkesan dalam jangka masa panjang.

“Kemahiran, pengetahuan dan pengalaman mereka perlu dimanfaatkan oleh negara dengan diberi pengiktirafan yang sewajarnya selaku penjawat awam. Bukankah kerajaan sendiri yang memaklumkan sistem penjagaan kesihatan negara sedang berada dalam tekanan yang amat luar biasa.

“Jangan terlalu berkira dalam soal ini kerana keberadaan setiap pegawai perubatan dan jururawat terbabit bermakna lebih baik penyampaian perkhidmatan kesihatan untuk rakyat. Terutama dalam keadaan pandemik COVID -19 di Malaysia yang masih buruk berbanding banyak negara lain,” ujarnya. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.