Ahmad Zahid Berharap Bakal Jemaah Haji Malaysia Tabah Dan Sabar
KUALA LUMPUR, 13 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merasa simpati mendengar perkhabaran kerajaan Malaysia tidak akan menghantar jemaah haji ke Tanah Suci bagi Musim Haji 1442H.
Katanya, perasaan sedih pastinya tidak dapat dibendung bakal jemaah haji yang telah pun mendapat tawaran menunaikan Rukun Islam ke-lima itu.
Jelas beliau, selepas begitu besar harapan mereka apabila dimaklumkan Malaysia dapat tambahan 10,000 kuota haji pada Mac lalu.
“Namun apakan daya pandemik COVID-19 masih membimbangkan dunia termasuk Malaysia yang mencatat ribuan kes sehari.
“Saya berharap para jemaah haji Malaysia tabah dan bersabar dengan perkembangan terbaru ini. Firman Allah S.W.T dalam Surah al-Baqarah, ayat 153: “Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar”
“Bagaimanapun marilah kita saling berpesan jangan ada suara-suara kejahilan cuba memutarbelit menyalahkan jemaah haji pula,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk mendakwa kononnya mereka yang tidak dapat menunaikan ibadah haji semasa COVID-19 kerana wang yang digunakan tidak berkat.
“Suara-suara seperti itu pernah didengari sebelum ini. Sudah-sudahlah ini soal pandemik dan pengurusannya.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataannya mengatakan bahawa Malaysia tidak akan menghantar jemaah haji bagi Musim Haji 1442H dan akur serta menghormati keputusan kerajaan Arab Saudi yang hanya membenarkan ibadah haji dijalankan bagi warganegara Saudi dan penduduk negara lain yang telah berada dalam negara tersebut. – UMNO Online