Wujudkan Skuad Hantar Barangan Keperluan, Bantu Golongan Terjejas Termasuk Yang Dikuarantin – Azhari Shaari

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari mencadangkan pihak berkuasa mewujudkan skuad menghantar barangan keperluan asas kepada pihak terkesan dari sudut mobilisasi dan kewangan termasuk kepada individu sedang dikuarantin akibat COVID-19.

Katanya, ini kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan rakyat terutama yang berniaga.

“Apa yang dirunsingkan oleh rakyat yang bergaji hari dan dikuarantin, bagaimana mereka hendak meneruskan kelangsungan hidup?

“Di kawasan kita boleh juga kita menghulurkan beras dan telur, bagaimana dengan nasib penduduk kawasan lain?

“Sepatutnya ketua kampung, tok empat, pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung mahupun ketua group Whatsapp ambil cakna kebajikan ahli mereka,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Azhari yang juga Ketua Penerangan Muafakat Nasional Selangor menambah sekiranya tiada dana, beliau meminta kepada pihak terbabit untuk melaporkan segera kepada Lembaga Zakat Selangor mahupun Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Bukankah organisasi ini wujud untuk membantu golongan miskin dan asnaf?

“Mari kita bersama-sama membantu jiran kita yang sedang kesusahan kerana dikuarantin.

“Kepada Yang Berhormat jom kita tengok siapa yang sedang susah dan siapa sedang gelisah mencari nafkah,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.