Trend Muat Naik Gambar Terima Vaksin Langkah Terbaik Beri Keyakinan Kepada Orang Ramai – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Trend di media sosial yang memaparkan perkongsian individu yang sudah divaksin memuat naik gambar mereka memegang kad vaksin merupakan salah satu langkah terbaik, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jelas beliau ianya satu tindakan yang positif kerana secara tidak langsung membantu meyakinkan golongan yang khuatir untuk mendapatkan suntikan.

“Saya dapati ramai juga yang telah memuat naik status di media sosial memaklumkan telah mengambil suntikan vaksin COVID-19.

“Ini satu tindakan yang baik kerana secara tidak langsung membantu meyakinkan mereka yang khuatir untuk mendapatkan suntikan itu.

“Saya sendiri memuat naik status menerima suntikan vaksin COVID-19 pada 16 Mac lalu dan menyeru rakyat turut berbuat demikian. Kita tahu masih ada ragu-ragu mengenai pengambilan vaksin COVID-19,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata testimoni daripada rakan-rakan serta saudara mara yang telah mengambil suntikan mampu juga memberi dorongan serta mengubah pemikiran mereka berkenaan suntikan vaksin ini.

“Justeru, saya menyeru lebih ramai yang telah divaksin memaklumkan mengenainya di media sosial masing-masing.

“Semoga apa yang kita lakukan dengan niat yang ikhlas untuk kebaikan bersama itu mendapat ganjaran pahala Allah.

“Baginda SAW bersabda: ‘Barang siapa mengajak ke arah kebaikan, ia memperoleh pahala sebagaimana pahala-pahala orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan pahala mereka yang mencontohinya itu sedikit pun’ [Riwayat Muslim],” ulas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.