Stesen Bersepadu ECRL-KTM Pemangkin Pembangunan Masa Depan Temerloh – Mohd Sharkar

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin mengharapkan Projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) akan memberikan impak yang besar buat ekonomi negeri khususnya buat kawasan-kawasan sekitar.

Katanya, laluan ECRL dari Kuala Lumpur menuju Kelantan menerusi Pahang dan Terengganu bakal membuka lembaran baharu dari segi kemajuan pengangkutan awam sekali gus new horizon kepada Malaysia.

“Kawasan penempatan awam yang menjadi stesen perhentian ECRL juga akan menikmati impak positif sekali gus mempengaruhi pembangunan ekonomi sekitar termasuk di daerah Temerloh.

“Tentunya daerah Temerloh juga bakal berubah wajah kerana kawasan ini turut terlibat dengan pelaksanaan projek berimpak tinggi berkenaan.

“Rakyat di Temerloh cukup bertuah kerana di daerah ini merupakan lokasi adanya pertemuan antara Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan juga ECRL,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang berkata pembinaan sebuah stesen bersepadu di daerah Temerloh juga perlu diwujudkan agar ianya dapat memudahkan rakyat untuk menggunakan perkhidmatan KTM dan ECRL.

Jelas Mohd Sharkar, keadaan ini sekali gus mampu melonjakkan sektor pelancongan dan menjadi penggerak baharu ekonomi di Temerloh.

“Insya-Allah kita akan merancang pembangunan di sekeling stesen bersepadu itu, wujudnya bandar-bandar baharu yang lebih tersusun.

“Dengan jangka masa kira-kira satu jam sahaja ke Kuala Lumpur, selepas ini tidak mustahil individu yang menetap di Temerloh boleh bekerja di Kuala Lumpur dengan menaiki ECRL,” ujar beliau.

Tambah Mohd Sharkar perkara yang penting adalah dengan wujudnya stesen bersepadu di daerah Temerloh ini nanti ianya bakal mengalami pembangunan pesat baik dari sudut sosio-ekonomi, infrastruktur, pelancongan dan peluang pekerjaan.

“Semua itu demi pembangunan masa depan Temerloh menjadi sebuah daerah berkembang maju dan setiap rakyatnya menerima kesan daripada limpahan ekonomi yang wujud di kawasan berkenaan,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.