Keresahan Rakyat Makin Membimbangkan, Skim i-Sinar Perlu Dilanjutkan Bantu Golongan Terjejas – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kebimbangan beliau mendengar keluhan rakyat dengan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan.

Katanya, total lockdown suam-suam kuku yang berlangsung ketika ini memberikan kesan besar kepada rakyat terutama golongan penjaja dan pemandu teksi.

“Mereka yang tidak dibenarkan beroperasi dan dibenarkan beroperasi sama-sama terkesan. Yang tidak dibenar beroperasi sudah pasti tiada pendapatan. Yang beroperasi pun susah cari makan. Abang burger perlu mula berniaga seawal tengah hari sedangkan majoriti rakyat lunch makan nasi.

“Jika bermula sebelah petang cuma beberapa jam berpeluang berniaga sebelum berakhir pukul 8 malam. Peniaga nasi lemak cuma boleh berniaga mula pukul 8 pagi pada waktu ramai telah ke tempat kerja.

“Pemandu teksi dan e-hailing lebih menghabiskan masa menunggu daripada menghantar penumpang. Golongan pekerja terpaksa ikat perut kerana gaji dipotong atau elaun dan OT disekat. Jika mahu disentuh satu persatu rakyat yang terkesan pasti berjela senarai perlu ditulis,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi keadaan bertambah sukar apabila harga barangan keperluan asas pula semakin meningkat.

Jelas Ahmad Zahid, salah satu cara bagi mengurangkan beban golongan yang terjejas adalah kerajaan perlu melanjutkan pengeluaran i-Sinar.

“Jadi kita tidak mahu cerita lebih. Kita desak kerajaan mengumumkan skim i-Sinar dilanjutkan. i-Sinar 2.0 bagi membantu rakyat yang berterusan berdepan kesukaran akibat pandemik. Jika amaun tidak seperti pengeluaran skim i-Sinar 1.0, sekurang-kurangnya sebahagian jumlah itu.

“Lagipun tiada siapa dapat beri jaminan penularan COVID-19 dapat dibendung dengan cepat. Pendekatan semi lockdown mengundang kebimbangan PKP akan berterusan untuk tempoh yang lebih lama.

“Jikapun sektor ekonomi dan sosial kembali dibuka sepenuhnya dalam tempoh terdekat, mereka yang telah terkesan akan mengambil masa untuk ‘pulih’. Maka pengeluaran skim i-Sinar 2.0 pasti akan sangat-sangat membantu untuk mereka berusaha bangkit semula,” tegas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.