Idea Pembaharuan Penting Untuk BN, Bawa Nafas Baharu Ke Arah Kesepakatan – Zambry

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Barisan Nasional (BN) perlu menggerakkan idea untuk membolehkan ianya bertindak sebagai petunjuk kepada masa hadapan parti yang lebih kukuh di samping berterusan sebagai penggerak bagi berbakti kepada rakyat, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Jelas beliau, proses ini sangat penting bagi membawa gabungan ini ke arah pembaharuan berbanding hanya bergerak berlandaskan kepada strategi lama.

“Perlu ada pelan perancangan yang hendak dilakukan. Apa yang hendak dibuat? Pelan itu perlu dipecahkan kepada pelan jangka pendek, sederhana dan juga jangka panjang. Ini yang paling mustahak yang perlu kita buat.

“BN perlu digerakkan dengan idea, sebuah parti perlu disegarkan dan disuburkan dengan idea kerana jika parti bertindak dalam keadaan ad-hoc yang disebut sebagai krisis respon. Sekiranya parti tidak ada petunjuk ke hadapan maka parti itu tidak akan jadi kuat.

“Oleh yang demikian dalam tempoh yang terdekat ini, proses penyegaran idea itu perlu dilakukan yang saya maksudkan apa yang kita hendak buat seumpamanya untuk kita berhadapan dengan pilihan raya atau sebagainya,” katanya ketika ditemui secara eksklusif bersama UMNO Online, baru-baru ini.

Zambry yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, bagi mendapatkan nafas baharu buat parti penyelesaian masalah perlu ditangani terlebih dahulu.

Katanya, beliau memahami keadaan ini kerana BN telah melalui pelbagai asam garam berpolitik termasuk cabaran selepas kejatuhan kerajaan BN pada 2018.

“Tugas kita adalah untuk kita ketatkan balik skru-skru yang longgar, kita tidak boleh bergerak tanpa kita mengukuhkan parti kita dahulu, kemaskan dalaman dahulu dan saya yakin dengan persefahaman yang dibina Dewan Tertinggi BN.

“Baru-baru ini saya lihat satu perbincangan yang baik dalam kalangan presiden-presiden parti. Saya lihat dalam merangka masa hadapan itu sangat baik sekali,” jelas beliau.

Menurut Zambry lagi, BN perlu mencari kaedah untuk mentadbir pada kali ini dengan mengambil beberapa pendekatan baharu seperti perubahan institusi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor berkata, gabungan ini memerlukan identiti baharu yang bergerak sebagai jenama BN untuk keluar daripada kepompong negatif.

“Kalau ditanya sama ada BN mampu untuk membawa perubahan, kita kata boleh untuk dilakukan. Dengan syarat kita perlu lakukan satu proses pembaharuan yang membawa politikal brand kita yang kita bawa.

“Perubahan institusi yang perlu kita lihat kerana rakyat bercakap mereka mahukan satu politik yang baharu yang keluar daripada imej buruk dan sebagainya.

“Kita lihat pada hari ini dengan krisis politik yang ada rakyat merindui untuk melihat model-model seperti mana yang dibina BN. BN dapat semula untuk melihat asas penubuhannya dalam konteks kerjasama yang ada di samping untuk melihat realiti politik pada hari ini,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.