Bank Perlu Main Peranan, Bantu Rakyat Kembali Berikan Moratorium Kepada Yang Terjejas – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi meminta kerajaan agar mengarahkan bank-bank untuk memberi moratorium secara automatik kepada rakyat yang terjejas pendapatan.

Katanya moratorium ini perlu diberikan tanpa sebarang caj tambahan kepada setiap rakyat yang memerlukan dan perniagaan yang berhadapan dalam kesulitan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“PKP dilanjutkan bagi tempoh dua minggu lagi berkuat kuasa 15 sehingga 28 Jun 2021. Moratorium perlu diberikan bukan hanya untuk mereka yang hilang pekerjaan atau perniagaan yang tidak dibenarkan beroperasi tetapi untuk mereka yang masih bekerja pun perlu diberi moratorium akibat pendapatan isi rumah terjejas.

“Akibat dipotong gaji oleh majikan atau pendapatan daripada aktiviti teksi dan e-hailing berkurangan. Perniagaan essential yang dibenar beroperasi semasa PKP, tetapi hasil merundum juga perlu diberi moratorium.

“Bukan juga bank sekadar menawarkan penangguhan bayaran pembiayaan yang bersifat refinance kepada mereka,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, kerajaan juga seharusnya tidak memberikan alasan tiada kuasa untuk mengarahkan bank memberi moratorium automatik yang menyeluruh.

“Kemudian kata ada kuasa untuk arah, tetapi perlu bayar pampasan kepada bank. Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pernah menerangkan tentang perkara ini baru-baru ini.

“Namun timbul juga persoalan tentang dakwaan kerajaan perlu bayar pampasan kepada bank jika arah beri moratorium automatik. Saya difahamkan, Seksyen 3 dan 5 Ordinan Darurat 2021 cuma menyebut kerajaan boleh memberi arahan pampasan.

“Perkataan ‘boleh’ bukan bermaksud ‘mesti’. Tidak pasti mengapa ada pihak cuba mengambarkan ia ‘wajib’. Persoalan seterusnya kerajaan ada kuasa kompaun rakyat jika enggan bekerjasama dalam berdepan COVID-19. Namun kerajaan tiada apa-apa kuasa jika bank enggan bekerjasama dalam mendepani wabak itu?” soal beliau.

Ahmad Zahid berkata pada situasi yang mencabar ini, peluang untuk bank memainkan peranan membantu para pelanggan mereka yang berhadapan kesulitan yang selama ini juga membantu institusi bank mencapai keuntungan berbilion ringgit saban tahun.

“Adakah bank tidak ada keuntungan jika moratorium ini diberikan? Kita semua tahu bank ada kemampuan untuk beri moratorium secara automatik.

“Bukankah pihak bank masih mencatat keuntungan berbilion ringgit pada waktu pandemik COVID-19.

“Bank sila tolong rakyat. Apabila keadaan kembali stabil, rakyat jua tolong bank buat untung,” katanya. –UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.