UMNO ‘Sokong’ PH?… Tidak Timbul Soal Sokong Parti Lain Kerana Pendirian Sama – Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, dalam masa 24 jam pelbagai poster palsu dikeluarkan yang menyentuh kepentingan UMNO.

Ujarnya, petang ini, tajuk berita arus perdana pula tampak mengelirukan dan mensensasikan situasi.

“Tajuk ‘UMNO Sokong PH’ dipilih semata-mata kerana UMNO tidak menyokong cadangan penubuhan MAGERAN.

“Saya fikir banyak juga pihak tidak selesa dengan cadangan MAGERAN. Dikalangan yang tidak sokong UMNO pun barangkali tidak berapa setuju dengan langkah drastik itu,” katanya dalam kenyataan pendek yang disiarkan menerusi laman facebooknya.

Maka ujarnya, untuk jelas, tidak timbul soal satu parti sokong parti lain semata-mata sebab berpendirian serupa dalam sesebuah isu khusus.

Terdahulu, sebuah media tempatan melaporkan tajuk yang mengelirukan ekoran pendirian UMNO melalui Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini yang menolak penubuhan MAGERAN selepas pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.