Secara Hibrid Atau Bersemuka… Parlimen Perlu Segera Bersidang Demi Rakyat – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan bahawa Parlimen perlu segera bersidang sama ada secara bersemuka atau secara hibrid demi rakyat.

Ini kerana katanya, negara sedang berada dalam krisis ekonomi dan pandemik COVID-19 maka ahli-ahli Parlimen boleh diharapkan untuk memberikan pandangan bagi penyelesaian.

“Ahli Parlimen adalah wakil rakyat yang perlu membawa suara rakyat di Dewan Rakyat dan itu semua memberikan makna yang cukup penting. Kita bukan hanya nak bincang soal COVID-19 kerana kita ada banyak lagi isu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian dalam diskusi menerusi ‘Wacana Siri 264: Parlimen Hibrid Solusi Buat MP’ yang disiarkan melalui platform media sosial Sinar Harian, malam tadi.

Katanya, semua pihak memang boleh bercakap dalam media sosial namun tidak ada respon dan kesannya amat terhad.

“Sedangkan dalam Parlimen setiap patah perkataan akan dicatat dan dimasukkan dalam hansard, setiap persoalan boleh dijawab oleh menteri-menteri berkaitan dan pegawai-pegawai mereka akan bekerja yang akan menggerakkan semua jentera kerajaan.

“Kenyataan dan pandangan dari ahli Parlimen amat penting kerana kerajaan tidak tahu semua… ini kerana wakil rakyat yang berada di bawah, berjumpa rakyat dan tentunya pelbagai maklum balas boleh dibuat dengan suasana atau keadaan yang berbeza-beza.”

Ujarnya, Parlimen juga boleh dibuka memandangkan ahli-ahli Parlimen sudah divaksin sementara kakitangan yang belum divaksin bukanlah satu masalah.

“Kalau kerajaan betul-betul ikhlas ingin mendengar suara rakyat maka buka sajalah Parlimen kerana ahli-ahli Parlimen telah divaksin sementara kakitangan Parlimen yang belum divaksin boleh berbuat demikian dengan segera. Itu bukan satu masalah yang besar.

“Kita perlu yakin terhadap vaksin yang dibuat kepada semua ahli Parlimen dan cadangkan juga semua kakitangan Parlimen divaksin. Kalau kita tak yakin kepada vaksin maka tak payahlah nak buat vaksin dan kalau benar-benar yakin dengan vaksin maka bolehlah bersidang di Parlimen.

“Boleh juga diadakan secara hibrid. Kalau nak buat hibrid boleh dicuba dan kita sedia menerima peraturan-pertaruan sebab kita maklum bahawa kita perlu SOP. Ia perlulah dilaksanakan dengan cepat kerana dimaklumkan sekarang sedang buat kajian maka janganlah buat kajian lama sangat… janganlah sampai berbulan-bulan kajian, patutnya seminggu dua cukuplah sebab semak dan imbang perlu diteruskan.”

Dalam hal ini, beliau menjelaskan bahawa Malaysia sebenarnya bukan hanya ada dua krisis iaitu ekonomi dan COVID-19 tetapi juga krisis politik.

“Krisis politik inilah yang mungkin menyebabkan Parlimen tak bersidang dan sekarang ini sudah lebih setengah tahun patutnya Rancangan Malaysia ke-12 dibentangkan. Malangnya Rancangan Malaysia ke-12 berjalan tanpa dibentang di Parlimen.

“Malaysia mesti ada rancangan ekonomi setiap lima tahun dan ia sangat penting bagi dibincang dan dibahas kerana rancangan-rancangan ini adalah untuk membangunkan rakyat dan negara.

“Sekarang ini juga, lihatlah harga barang minyak melambung dan bantuan-bantuan kepada rakyat cukup penting tapi tidak ada disuarakan yang tentunya boleh dilaksana sekiranya Parlimen bersidang,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.