Pecat Hishammuddin: Apa Tujuan Cipta Surat Palsu…? – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Apakah tujuan seorang atau sesuatu kumpulan mencipta berita atau cerita atau surat palsu atau fake news?

Demikian persoalan yang dilontarkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan ekoran tularnya surat berhubung pelucutan keahlian Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein daripada parti, hari ini.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa hari ini tiada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malah tidak pernah dijadualkan pun ada mesyuarat itu hari ini.

“Tiadalah sebarang kenyataan mengenai apa-apa juga isu selain kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian melalui ciapan dalam laman Twitternya berkaitan hal terbabit.

“Melaga-lagakan, inginkan perhatian, inginkan simpati, tak ada kerja lain, stress masa PKP, saja-saja, suka-suka, tak takut dosa, gila-gila agaknya atau sebab-sebab yang lain,” katanya yang memberikan senarai antara tujuan surat tersebut dicipta.

Terdahulu, telah tular surat pada petang ini yang mendakwa Hishammuddin yang juga Menteri Luar telah dilucutkan keahlian UMNO serta merta.

Dalam surat yang ditandatangani oleh Ahmad Zahid, Hishammuddin didakwa telah melanggar fasal 20.8 (a), (b), dan (g) dalam Perlembagaan UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.