SPM 2020: Semoga Terus Sukses Dalam Perjuangan Yang Seterusnya – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada pelajar yang mencatat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga mendoakan agar mereka terus suskes dalam perjuangan yang seterusnya.

“Dalam keadaan pembelajaran semasa negara dilanda pandemik COVID-19, anda membuktikan anda mampu melakukannya.

“Keputusan SPM yang cemerlang sudah pasti batu loncatan untuk meneruskan pencapaian akademik ke peringkat yang lebih tinggi.

“Manakala bagi yang mencatatkan keputusan sebaliknya jangan patah hati. Ia bukanlah penamat kepada segala-galanya,” katanya dalam satu perkongsian di media sosialnya.

Dilaporkan, seramai 401,105 calon peperiksaan SPM 2020 mengetahui keputusan masing-masing hari ini.

Ahmad Zahid juga menasihati bahawa perjalanan hidup anak-anak tersebut masih panjang.

“Teruskan usaha untuk menggapai masa depan yang gemilang demi diri dan keluarga.
Keputusan SPM memang penting, tetapi jauh lebih penting adalah tentang apa yang anda lakukan untuk diri anda selepas itu.

“Tanpa keputusan cemerlang tidak bermakna anda tidak boleh berjaya seperti orang lain selagi ada keazaman dan kegigihan.

“Di mana ada kemahuan di situ ada jalan dan rezeki tidak pernah salah alamat. Cuma pastikan bersabar dan terus berusaha,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.