Solidariti Dan Keteguhan Bersama Diperlukan, BN Adalah Citra Pembentukan Persefahaman Politik – Dr Zambry

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata bagi menyempurnakan tanggungjawabnya yang baharu itu, semua pihak di dalam parti perlu kepada solidariti dan keteguhan di semua peringkat pimpinan dan ahli akar umbi bagi menjayakan cita-cita bersama.

Ujar Dr Zambry yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, BN adalah citra pembentukan persefahaman politik bagi sebuah negara Malaysia yang mempunyai keunikan kepelbagaian demografi, etnik, agama dan wilayah.

“Makanya usaha untuk memperkukuhkan BN sebagai mewakili kesegaran wajah politik masa kini dan keteguhan semangat baru adalah menjadi keutamaan.

“Memperbaiki kekurangan, memperbetulkan matlamat, dan membina semula kekuatan parti ditengah-tengah kedinamikan politik baru dan kepintaran kuasa media sosial akan dijadikan panduan.

“Selaku SUA yang baru saya akur ia adalah tanggungjawab yang besar dan mencabar. Lantaran itu prinsip ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ akan menjadi amalan, disulami dengan semangat musyawarah dan pembinaan konsensus (consensus building),” katanya dalam satu kenyataan.

Ulasnya juga, keputusan Dewan Tertinggi BN secara konsensus menamakan dirinya sebagai Setiausaha Agung BN yang baharu, diterima dengan perasaan rendah diri dan sedar akan tanggungan amanah yang diberikan.

“Saya berpegang kepada prinsip bahawa sesuatu tugas yang diletakkan di jemala bukannya sebuah keistimewaan yang perlu diraikan, tetapi sebaliknya sebuah tanggungjawab yang wajib dilaksanakan.

“Tugas sebagai SUA adalah untuk mengendali urusan dan perjalanan pentadbiran BN dan membantu pimpinan utama komponen BN di peringkat pusat, negeri dan parlimen,” tambahnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor itu juga mengucapkan terima kasih semua atas pesanan dan mesej melalui media sosial.

“Segala ucapan tahniah, nasihat dan kritikan baik dan destruktif tetap saya santuni sebagai panduan untuk memulakan langkah yang penuh dengan cabaran.

“Selaku SUA yang baharu, saya mendoakan agar diberi kekuatan dan petunjuk serta hidayah Ilahi bagi melakukan yang terbaik kepada BN dan demi kemaslahatan rakyat dan negara,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.