Moga Allah Bantu Perjuangan Misi Bantuan Kemanusiaan Palestin Oleh UMNO – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Misi Bantuan Kemanusiaan Palestin di bawah Biro Kebajikan UMNO dijangka akan berlepas dari Ibu Negara pada 19 Jun sebagai usaha bagi menyalurkan bantuan kepada penduduk Palestin di Gaza.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menzahirkan ucapan selamat berangkat ke Gaza kepada anggota misi yang diketuai oleh Pengerusi Biro terbabit, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

“Selamat berangkat ke Gaza, Palestin dan Masjid al-Aqsa Datuk Seri Azeez bersama team pada 19 Jun 2021 ini. Moga Allah membantu perjuangan 13 juta rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan kepada UMNO Online.

Ujarnya, menerusi Misi Kemanusiaan UMNO ke Palestin, UMNO telah beberapa kali melaksanakannya dengan diketuai oleh Abdul Azeez yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO .

“Presiden UMNO telah merestui Datuk Seri Azeez pergi mewakili UMNO dan Presiden juga telah berkomunikasi secara online dengan beberapa tokoh atau pemimpin Palestin. Juga beliau telah berbincang dengan duta dan bekas duta Palestin di Malaysia.”

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian memaklumkan bahawa UMNO juga telah melancarkan tabung khusus untuk misi bantuan kemanusiaan Palestin.

“Salurkan bantuan anda melalui Tabung Muafakat Palestin yang telah dilancarkan. Moga dibantu Allah jua usaha yang mulia ini,” katanya.

Terdahulu beliau menerangkan tentang keberadaan rakyat Palestin yang melibatkan sekitar 2 juta di Gaza, 3.5 juta di Ramallah, 1.5 juta dalam wilayah yang Israel kuasai dan jajah, 6 juta di luar Palestin terutama di negara-negara jirannya sebagai pelarian (refugee camps) sementara 5 ribu di Malaysia termasuk 1,500 orang pelajar.

3 Jun lalu, dalam sidang media Abdul Azeez memaklumkan UMNO sebagai organisasi yang sinonim dengan bantuan kemanusiaan juga tidak lupa melaksanakan bantuan kepada masyarakat di Gaza yang telah terkesan akibat kemusnahan selepas serangan Israel dan beliau mengetuai misi ini berikutan pengalamannya yang telah empat kali ke sana selain masih masih lagi Duta Kehormat Palestin yang dilantik pada 2012 oleh pemimpin Gaza.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.