Hakim Benarkan Pasport Antarabangsa Azeez Rahim Diserahkan Bagi Misi Bantuan Kemanusiaan Di Gaza

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Azura Alwi telah membenarkan permohonan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim supaya pasport antarabangsa beliau diserahkan semula buat sementara waktu pada hari ini, 10 Jun hingga 20 Julai 2021 bagi tujuan mengetuai misi kemanusiaan ke Gaza Palestin dan bantuan ke Masjid Al-Aqsa Palestin.

Demikan kenyataan yang dikeluarkan oleh Peguam Azeez Rahim, Amer Hamzah Arshad pada hari ini dalam permohonannya kepada mahkamah mengenai perkara berkaitan.

Menurut Amer Hamzah, hakim juga memohon supaya Azeez Rahim menyegerakan urusan memohon visa dan urusan berkaitan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza tersebut serta memaklumkan kepada mahkamah segala perkembangan yang berkaitan.

Kata Amer Hamzah, misi tersebut dijangka akan berangkat pada 19 Jun 2021 hingga 5 Julai 2021 dan membawa bersama sepasukan doktor pakar bagi membantu mangsa-mangsa yang tercedera dan juga memberikan sokongan dan bantuan psikitrik post trauma kepada warga Gaza yang terkesan dengan serangan baru-baru ini.

“Azeez Rahim juga membawa bersama pakar pembinaan IBS dan wakil CIDB untuk membantu membangunkan semula Gaza antaranya pembinaan semula lebih 17,000 rumah yang musnah melibatkan 50,000 penduduk, sekolah-sekolah dan hospital serta kemudahan awam lain yang hancur dibom.

“Bantuan kepakaran dalam isu bekalan air bersih dan sistem kumbahan yang daif akibat daripada kesan serangan juga akan menjadi salah satu matlamat misi pada kali ini.

“Misi kemanusiaan juga akan memberikan bantuan kewangan kepada petani, nelayan dan biasiswa bayaran pembelajaran kepada anak-anak Gaza di universiti tempatan mereka,” jelasnya lagi kepada UMNO Online.

Azeez Rahim juga merupakan duta kehormat Malaysia ke Palestin yang dilantik pada Disember 2012.

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia itu telah dilantik oleh kerajaan Palestin sebagai ‘Duta Kehormat’ dan antara tanggungjawab serta peranan sebagai duta kehormat seperti tertulis di watikah pelantikan itu ialah untuk menyampai, membela dan memperjuang nasib saudara-saudara seagama itu di Palestin yang dicengkam oleh pendudukan Israel sejak penubuhan negara tersebut pada tahun 1948 sehingga kini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.