Pemuda BN Terus Bawa Suara Dan Agenda Untuk Rakyat – Asyraf

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan pergerakan itu akan terus menjadi jurubicara rakyat dan pihaknya telah menyampaikan beberapa isu untuk dibawa oleh menteri-menteri BN ke kabinet hari ini.

Menurut beliau beberapa perkara melibatkan kepentingan rakyat serta masyarakat telah dimaklumkan kepada menteri-menteri terbabit.

“Kita telah ketengahkan perkara berikut. Antaranya moratorium 2.0 tanpa caj atau faedah tambahan secara automatik untuk diperluaskan kepada golongan M40 selama 3 bulan,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Tambah Asyraf lagi, turut diketengahkan kepada menteri BN agar dibawa ke kabinet adalah akses rakyat kepada i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0

“Selain itu, intervensi segera kerajaan terhadap kenaikan mendadak harga minyak masak yang pasti ada kesan domino kepada kenaikan harga barangan keperluan lain termasuk makanan. Moga ada sinar di hujung terowong,” ujarnya. – UMNO Online