BN Tambah Kekuatan Jentera Bantu Pendaftaran Vaksin, Dr Zambry Abd. Kadir SUA BN Baharu

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Barisan Nasional memutuskan untuk menambah kekuatan jentera parti daripada negeri-negeri bagi usaha membantu pendaftaran vaksin khususnya warga emas, OKU dan penduduk di kawasan pedalaman.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan BN juga menyeru semua pihak agar mematuhi SOP bagi pengawalan penularan Covid 19 yang sangat membimbangkan pada ketika ini.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media selepas mengadakan Mesyuarat Agung Tahunannya pada malam ini yang dibuat secara maya (online) dengan dihadiri oleh kesemua empat parti komponen – UMNO, MCA, MIC dan PBRS.

Maklumnya, Mesyuarat Dewan Tertinggi BN juga sebulat suara bersetuju melantik Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir sebagai Setiausaha Agung BN yang baharu.

Dalam hal berkaitan, terdahulu Datuk Seri Ahmad Maslan telah menarik diri daripada jawatan Setiausaha Agung BN sejak hujung Februari 2021 dengan dipersetujui oleh Ahmad Zahid.

Ahmad Maslan kini menjawat Setiausaha Agung UMNO dan Setiausaha Agung bersama Muafakat Nasional.

Menerusi kenyataan media terbabit, Ahmad Zahid juga memaklumkan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN juga telah sebulat suara bersetuju melantik Datuk Seri Azlan Man sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras BN Negeri Perlis yang baharu.

Ujarnya, pada mesyuarat terbabit turut dibentangkan Laporan Tahunan dan Laporan Kewangan BN bagi tahun berakhir 31 Disember, 2020. – UMNO Online
[gview file=”https://umno-online.my/wp-content/uploads/2021/06/Kenyataan-Media-Mesy-DTBN-8-Jun-2021.pdf”]

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.