Tengku Zafrul Perlu Berjiwa Rakyat… Bukan Berterusan Pemimpin Berjiwa ‘Banker’ – Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz seharusnya lebih cakna dengan masalah yang membelenggu rakyat dan membuka peluang untuk golongan yang memerlukan untuk mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau juga turut mengkritik kenyataan Tengku Zafrul baru-baru ini yang mendakwa bahawa KWSP bukanlah institusi perbankan.

“KWSP bukan bank, rakyat memang tahu… rakyat bukan mahu keluarkan caruman mereka setiap hari.

“Masalahnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang jadikan KWSP macam bank. Kalau rakyat dah tengah susah kenapa nak keluarkan sikit pun tidak boleh.

“Betullah itu simpanan hari tua tapi tua sampai bila? Sampai mereka mati kebuluran?” tegas beliau menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu juga turut menyentuh berkenaan isu moratorium.

Katanya, Tengku Zafrul perlu menjadi pemimpin yang prihatin dan berjiwa besar dengan membantu rakyat yang turut sama berdepan dengan krisis kewangan.

“Tengku Zafrul kata kerajaan tidak boleh paksa bank, kerajaan tidak kawal bank. Bukankah kerajaan yang keluarkan lesen bank?

“Beliau kena belajar makna pemimpin berjiwa rakyat… bukan pemimpin berjiwa banker,” ujar beliau.

Menerusi hantaran berbeza beliau berkata seseorang yang dilantik menjadi menteri seharusnya mempunyai sifat political will dalam diri.

Katanya, kesungguhan berpolitik adalah sebagai pemudah cara dan ianya mendorong seorang pemimpin bersuara, bertindak dan buat polisi untuk manfaat kepada orang ramai.

“Dia akan berusaha supaya masalah yang nampak sukar dan rumit dapat diselesaikan dengan mudah. Sebab itu rakyat suka jumpa orang politik untuk selesai masalah terutama yang membabitkan kerenah birokrasi.

“Apakah Tengku Zafrul ada political will? Tanpa political will dia akan menjadi fasilitator kepada orang lain bukan kepada rakyat,” tegas beliau. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.