‘Petition’ Media Sosial Pecat Azmin Bukan Kaedah Malaysia Tapi…Apa Jadi Kes Tajuddin? Sinis Shabery

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shabery Cheek berkata menandatangani petisyen bagi mendesak meletak jawatan kerana gagal melaksanakan tanggungjawab bukan kaedah Malaysia.

Ini kerana katanya, negara ini adalah demokratik.

“Kita negara demokratik. Kaedah petition media sosial bukan kaedah Malaysia. Tunggulah pilihan raya kalau nak jatuhkan sesiapa atau nak tukar apa-apa,” katanya yang merujuk kepada tindakan netizen melancarkan petisyen secara online meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meletak jawatan.

Namun katanya, kerajaan cepat bertindak terhadap Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman apabila media sosial dihujani gesaan agar tindakan diambil.

“Namun bila kerajaan cepat bertindak terhadap Pengerusi Prasarana selepas ada petition medsos, yang ni pun kena tengok-tengoklah juga,” katanya melalui hantaran dalam laman facebooknya berkaitan isu terbabit.

Terdahulu Tajuddin ditamatkan tugas sebagai Pengerusi Prasarana, berkuat kuasa serta-merta selepas petisyen dalam talian dilancarkan bagi menggesa dia berundur segera, susulan sidang media berhubung insiden kemalangan dua tren LRT.

Terbaru, satu petisyen dalam talian yang mendesak Mohamed Azmin meletak jawatan mendapat lebih 170,000 tandatangan warganet.

Petisyen dengan tanda pagar #AzminLetakJawatan itu dimulakan oleh pengguna maya dengan nama Kerajaan Gagal di laman www.change.org mensasarkan untuk meraih 200,000 tandatangan.

Setakat pukul 9.00 pagi hari ini, petisyen itu telah mengumpul sebanyak lebih 170,000 tandatangan warganet. – UMNO Online