Mohamad Hasan Panjat Rasa Syukur Program Undang-Undang USIM Diiktiraf

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memanjatkan rasa syukur atas pengiktirafan penuh yang diberikan kepada program Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia (LPQB).

“Saya telah dimaklumkan bahawa Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang telah memberikan pengiktirafan penuh untuk Program Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah, Fakulti Syariah dan Undang-Undang.

“Alhamdulillah, keputusan ini sangat dialu-alukan dan saya ingin memanjatkan rasa kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana berkat usaha gigih serta doa dari semua yang terlibat, akhirnya penyelesaian terbaik telah tercapai,” katanya dalam hantaran di laman facebooknya, hari ini.

Katanya, dengan keputusan ini, semua graduan Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM akan layak untuk melakukan latihan dalam kamar sebaik bergraduat dan akhirnya diterima masuk sebagai Peguambela dan Peguamcara.

“Semoga USIM terus cemerlang sebagai institusi pengajian tinggi yang memperjuangkan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli, insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.