Kerajaan Perlu Teliti Semula Pakej Bantuan, Panjangkan Ikut Pengkelasan Baharu – Mustafa Shah

KUALA LUMPUR, 4 Jun – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Mustafa Shah Abdul Hamid menggesa kerajaan terutamanya Kementerian Kewangan Malaysia untuk meneliti semula pakej bantuan PEMERKASA Plus mengikut pengkelasan baharu isi rumah seperti yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2020.

Katanya, ini bagi memastikan bahawa tiada golongan rakyat yang tertinggal daripada menerima bantuan daripada kerajaan dan dapat melegakan sedikit bebanan yang perlu ditanggung akibat daripada pandemik ini.

Jelas beliau, ini boleh menyebabkan situasi yang mana berkemungkinan adanya golongan permulaan M40 yang lebih memerlukan bantuan berbanding golongan B40.

“Bantuan yang diumumkan juga tidak melihat kepada tanggungan isi rumah tersebut dan kos sara hidup mengikut lokasi tempat tinggal.

“Hanya kerana perbezaan RM1 sahaja pendapatan isi rumah, maka segala jenis bantuan tidak lagi dikira layak.

“Tekanan ini lebih dirasai oleh golongan permulaan M40 bagi M1 dan M2 khususnya pendapatan isi rumah RM4,850 – RM7,100 yang rata-rata terdiri daripada golongan profesional muda yang mempunyai keluarga kecil ke sederhana,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Ujar beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kangsar telah menerima pelbagai reaksi susulan daripada pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Pakej Bantuan PKP 3.0 yang dikenali sebagai PEMERKASA Tambahan atau PEMERKASA plus.

“Rata-rata reaksi yang diterima adalah daripada golongan M40 yang tidak layak menerima sebarang bantuan daripada kerajaan.

“Malah, permohonan moratorium, i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0 serta pelbagai pakej bantuan lain tidak layak untuk diterima memandangkan syarat utama adalah untuk terlebih dahulu disenaraikan sebagai penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

“Ini memberi tekanan kewangan terhadap mereka yang terjejas pendapatan bukan sahaja akibat PKP 3.0: Total Lockdown tetapi situasi pandemik yang berpanjangan ini,” tegasnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.