Demi Persaudaraan Sejagat, UMNO Gerakkan Misi Kemanusiaan Palestin Ke Gaza Salur Bantuan

KUALA LUMPUR, 3 Jun – Misi Bantuan Kemanusiaan Palestin oleh Biro Kebajikan UMNO Malaysia telah digerakkan sebagai usaha bagi menyalurkan bantuan kepada masyarakat di Gaza yang akan berlepas ke sana dalam tiga minggu lagi.

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata UMNO sebagai organisasi yang sinonim dengan bantuan kemanusiaan juga tidak lupa melaksanakan bantuan kemanusian kepada masyarakat di Gaza yang telah terkesan akibat kemusnahan selepas serangan Israel baru-baru ini.

“UMNO sedang dalam perancangan dan sedang menguruskan misi bantuan ke Gaza yang dijangka berlepas tiga minggu lagi bagi membawa bekalan perubatan dan pelbagai bantuan lain.

“Misi ini mendapat restu dari pucuk pimpinan parti dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang telah pun melancarkan tabung khusus untuk misi bantuan kemanusiaan Palestin. Ini menandakan betapa UMNO begitu cakna dengan perkembangan dan kebajikan umat Islam khususnya di Palestin.”

Beliau yang juga ahli MKT berkata demikian dalam sidang media Misi Kemanusiaan UMNO ke Gaza, Palestin yang diadakan secara langsung melalui laman Facebook UMNO Online, hari ini.

Abdul Azeez yang akan mengetuai misi ini berharap akan mendapat sokongan dan dokongan dari semua pihak termasuklah rakyat pelbagai kaum tanpa melihat kepada perbezaan politik kerana matlamat utama adalah membantu meringankan beban rakyat Palestin.

“Presiden kita, Datuk Seri Ahmad Zahid dalam perbincangan dengan pemimpin tertinggi Hamas, Ismail Haniyeh memaklumkan bahawa mereka minta beberapa perkara khususnya ubat-ubatan dan peralatan perubatan yang berkaitan dengan otorpedik. Selain itu, dimaklumkan bahawa 17,000 buah rumah telah hancur dibedil, dan 15,000 keluarga di Gaza ‘homeless’ iaitu tidak mempunyai rumah.

“Walaupun negara kecil tetapi rakyat Malaysia berjiwa besar dan sentiasa menghulurkan sumbangan. Barangan perubatan ini akan di beli di sana bagi memudahkan pergerakan kerana Biro Kebajikan UMNO bekerjasama erat dengan Persatuan Bulan Sabit Merah di Gaza, kita mempunyai hubungan yang akrab dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin yang bekerjasama sejak 2010 malah mereka telah memberikan makluman berkaitan keperluan di sana.”

Kata Abdul Azeez, UMNO melalui Biro Kebajikannya amat menyokong usaha sedemikian dan menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Luar yang diterajui oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein atas inisiatif melancarkan kempen membantu rakyat Palestin di Gaza dengan mewujudkan Tabung Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang dibuka kepada lebih banyak agensi dan pertubuhan untuk membantu pengumpul dana menyalurkan sumbangan.


“Kita juga merujuk kepada panduan yang telah diberikan oleh Wisma Putra dan Kementerian Luar dan langkah yang diambil oleh Wisma Putra jelas menunjukkan keprihatinan kepada rakyat Palestin yang sangat memerlukan bantuan. Inisiatif kementerian luar sebagai pemudahcara, penyelaras dan platform agar usaha bagi membantu rakyat Gaza sampai ke matlamatnya.

“Merujuk kepada Kementerian Luar misi ini juga harus bekerjasama dengan Kementerian Undang-undang di bawah Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Kementerian Dalam Negeri di bawah Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk pastikan gerak kerja dapat berjalan dengan lancar.”

Dalam kesempatan ini, Abdul Azeez turut menjawab persoalan kenapa tidak orang lain sedangkan dirinya masih terikat dengan beberapa perbicaraan mahkamah.

“Kenapa saya… sedangkan saya ada masalah pasport tetapi insyaAllah saya akan meminta pelepasan untuk misi ini kerana matlamat utama adalah menyalurkan bantuan. Dengan pengalaman yang saya ada… ini kali keempat saya pergi ditambah hubungan saya dengan NGO dan pemimpin tempatan di Palestin amat kukuh, dan saya masih lagi Duta Kehormat Palestin yang dilantik pada 2012 oleh pemimpin Gaza… insya-Allah urusan akan lebih mudah dan saya akan dapat memasuki Gaza bagi menyampaikan sumbangan.”

Ujarnya, untuk menyampaikan sumbangan kepada rakyat Palestin kali ini amat berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya kerana pandemik COVID-19, namun semua anggota misi akan patuh segala SOP yang diberikan sama ada di Malaysia dan juga negara luar.

“Perancangan dan persediaan, langkah-langkah telah diambil dengan persediaan dari segi kesihatan dan teknikal. Suntikan vaksin kepada peserta juga telah dibuat dan bukan hanya vaksin untuk COVID-19 tetapi ada juga vaksin-vaksin lain. Antara peserta misi kali ini melibatkan pegawai perubatan yang hampir 50 orang.

“Anggaran kita berada di Gaza dalam 14 hari dengan anggota misi akan bergerak berdasarkan kepada kepakaran masing-masing misalnya para doktor akan ditempatkan di hospital-hospital dan yang lain di tempat berbeza.

“Kali ini pergerakan berlainan kerana mereka juga minta tolong berkaitan pelajar-pelajar yang belajar di universiti tempatan untuk minta bayarkan yuran pengajian lantaran ahli keluarga mereka yang telah terkorban… nama-nama sudah ada 15 orang dan senarai masih lagi di kumpulkan,” jelasnya yang menjangkakan pada 7 Julai anggota sudah sampai semula ke tanah air.

Dalam hal ini, Abdul Azeez mengajak NGO atau mana-mana pihak yang mahu menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin untuk mengubungi Biro Kebajikan UMNO dan berharap doa dari rakyat keseluruhan agar mendoakan Misi Kemanusiaan Palestin Ke Gaza oleh Biro Kebajikan UMNO Malaysia. – UMNO Online

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit