‘Total Lockdown’ Tapi MITI Benarkan Syarikat Bukan ‘Essential Services’ Beroperasi, Rakyat Perlukan Penjelasan

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang Mohd Farid Mohd Nor berkata apa yang Pemuda UMNO utarakan adalah kebimbangan rakyat dan betapa perlunya Perintah Kawalan Pergerakan KP 3.0 ini (total lockdown) dilaksanakan seadil-adilnya kepada semua pihak.

Tegasnya, pelaksanaannya bukan sahaja perlu berjaya tetapi mesti disebabkan oleh pengorbanan semua pihak.

“Jangan ada sebahagian hilang pendapatan dan berkorban demi negara tetapi sebahagian lagi bebas melakukan apa yang mereka suka,” tegasnya di Facebook.

Farid berkata demikian merujuk kepada kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang meminta agar Menteri Kanan Hal Ehwal Ekonomi yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Indusrti (MITI) agar tampil untuk memberi beberapa penjelasan secara terbuka tentang beberapa isu yang timbul tentang sektor ekonomi agar semuanya tidak dibebankan kepada Menteri Kanan Keselamatan sahaja.

Walaupun begitu katanya, ianya disambut dengan bongkak dan angkuh oleh seorang pemimpin Armada PPBM Muhammad Saiful Bahari Sahari dengan menyatakan bahawa Dr Asyraf meletakkan otaknya di lutut.

Begitu juga Farid merujuk kepada satu situasi daripada pemilik perniagaan yang bukan tergolong dalam perkhidmatan perlu (essential service) tetapi diberi kelulusan beroperasi ketika PKP penuh ini.

“Malam ini (malam tadi) saya mendapat maklumat dari Saudara Fadhil Roslizan, seorang pengusaha perniagaan fotografi di Kuala Lipis.

“Eksperimen beliau mendedahkan bahawa ada kelemahan dalam sistem CIMS (Sistem Pengurusan Maklumat Bersepadu) 3.0 MITI memandangkan perniagaannya (perkhidmatan jurufoto) dibenarkan beroperasi walaupun tidak dikategorikan sebagai essential services,” katanya.

Seterusnya ulas Farid, memandangkan jumlah syarikat yang dibenarkan beroperasi menghampiri jumlah 100,000 dan bertambah setiap masa terdapat persoalan adakah sistem ini benar-benar telus.

“Kerana itu rakyat memerlukan penjelasan yang telus dari pihak menteri dan kementeriannya, lebih-lebih lagi semalam terdapat beberapa kali perubahan arahan dibuat oleh pihak MITI.

“Namun saya memahami kenyataan yang dibuat oleh Exco Armada PPBM ini, jangan sampai tiada apa yang nak dicakap, amatlah malang buat Pemuda Perikatan Nasional kerana memiliki seorang pemimpin sebegini,” bidasnya.

Terdahulu, Dr Asyraf mencadangkan Azmin tampil secara langsung di dalam sidang media untuk menjelaskan rasional setiap industri kilang yang diluluskan atas nama essential services dan antara yang kurang difahaminya ialah kilang elektronik dan elektrikal yang turut dibenarkan operasi atas nama keperluan.

Baru-baru ini media melaporkan sebanyak 95,142 syarikat dengan aggaran 1.2 juta pekerja sudah mendapat kebenaran MITI untuk terus beroperasi dalam tempoh total lockdown. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.