‘Lockdown’ Mesti Total, Semua Pihak Perlu Berkorban – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Tindakan kerajaan terus membenarkan sektor pembuatan atau perkilangan terpilih terus beroperasi walaupun dalam keadaan terhad akan terus mendatangkan risiko kejangkitan, tegas Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, ini secara langsung bertentangan dengan matlamat mengadakan ‘total lockdown’.

“Kita telah bereksperimen dengan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) selama lebih setahun. Namun kes semakin meningkat dengan pelbagai ‘variant of concern’.

“Penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial ini mesti berlaku secara total kecuali sektor makanan, pertanian dan kesihatan. Ia adalah untuk mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan adalah sangat kritikal pada waktu ini.

“Kepentingan sektor perkilangan dan pembinaan tidak lebih penting dari sektor lain yang rentan dan berisiko lumpuh sepanjang pelaksanaan perintah pergerakan terhad secara total,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, semua pihak harus berkorban untuk dua minggu ini.

“Kita tidak akan dapat melandaikan lekuk jangkitan dengan pelbagai sektor terus beroperasi secara berpilih,” katanya lagi.

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRCC) Kebangsaan, sebanyak 115 kluster tempat kerja dengan 5,392 kes dilaporkan antara 12 Mei sehingga 26 Mei manakala lebih separuh daripada jumlah tersebut melibatkan sektor perkilangan iaitu 62 kluster.

Pada Selasa, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengumumkan setakat jam 12 tengahari, 95,142 syarikat telah mendapat kebenaran untuk beroperasi semasa PKP ini.

Justeru kata Mohamad, ini bermakna hampir 20 peratus dari syarikat berdaftar dengan COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) telah mendapat kebenaran untuk beroperasi dan dijangkakan jumlahnya akan bertambah pada hari ini dan esok. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.