Kilang Minuman Keras Bukan Keperluan Asas, Ketegasan Menteri Kanan Pertahanan Dan Kerajaan Dipuji

BANDAR BARU BANGI, 2 Jun – Sekretariat Agamawan Muda, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyambut baik keputusan kerajaan menutup operasi kilang minuman keras memandangkan ianya bukan dikategorikan sebagai keperluan asas.

Kata Pengerusinya, Afif Farhi Othman, ketegasan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri menunjukkan responsifnya kerajaan terhadap suara rakyat dan kesungguhan di dalam mengekang penyebaran wabak COVID-19 secara serius dan berkesan.

“Selaras dengan firman Allah SWT di dalam surah Al-Maidah (Ayat 90) yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

“Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dan majoriti penduduknya Muslim, arak adalah haram dan sebarang usaha membenarkan operasinya di saat negara diuji wabak COVID-19 perlulah dikekang kerana tidak akan membawa kepada sebarang kebaikan ekonomi mahupun keberkatan dalam mengurus negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Tegasnya lagi, jelas arak merupakan sumber kemudaratan bahkan mampu menghilangkan kewarasan serta mencemar masyarakat dengan kesan sosial seperti keruntuhan institusi kekeluargaan, keganasan rumahtangga, mengundang kecelakaan serta kesan-kesan negatif yang lain.

“Justeru, semua pihak perlu memberikan sokongan penuh terhadap usaha ini dan semoga kerajaan terus konsisten di dalam memastikan hanya ‘essential services’ yang dibenarkan beroperasi sepanjang ‘lockdown’ dikuatkuasakan,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.