Pemuda UMNO Johor Seru Bersama Jayakan Program Vaksinasi

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor menyeru semua rakyat bersama memberi kerjasama dan berganding bahu dalam memerangi wabak COVID-19 di dalam negara ini dan Johor khususnya.

Kata Ketunya, Mohd Hairi Md Shah, bersama menolak sejauhnya segala fakta yang tidak sahih oleh pihak yang tidak bertanggungjawab berkaitan vaksin kerana imunisasi ini lebih banyak manfaat dari mudarat.

“Jom sama-sama hentikan wabak ini. Ambil vaksin, daftar hari ini,” katanya.

Jelasnya, terdapat lima kaedah pendaftaran vaksin COVID-19 seperti berikut:

“Laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (vaksincovid.gov.my). Menerusi aplikasi MySejahtera.T alian hotline 1-800-888-828. Di mana-mana klinik kesihatan dan hospital awam serta swasta.

“Menerusi program bantuan (outreach) bagi penduduk kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Pada masa sama tambah Hairi lagi, patuh prosedur operasi standard (SOP) terutama sepanjang tempoh ‘Total Lockdown’ yang bermula hari ini:

“Sentiasa memakai topeng muka, mengamalkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter, imbas kod QR MySejahtera, semak suhu sebelum memasuki premis dan sentiasa guna cecair pembasmi kuman pada tangan.

“Saya mengharapkan kepada semua masyarakat, ikuti SOP yang diarahkan dan buat seluruh masyarakat di dalam daerah Johor Bahru, jom daftar untuk menerima vaksin di MySejahtera. Jika jiran kita masih belum mendaftar bantulah mereka yang tidak mahir dalam teknologi yang disediakan,” ujarnya.

Tambah Hairi lagi, mengikut data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), sehingga 30 Mei 2021 jam 1 tengah hari, seramai 12,117,091 individu telah membuat pendaftaran bagi menerima suntikan vaksin COVID-19 dan daripada jumlah itu, 1.94 juta rakyat sudah menerima vaksin membabitkan 382 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara.

“Daripada jumlah itu Johor sehingga tempoh sama mencatatkan peningkatan kepada 52.63% daripada jumlah populasi membabitkan 1.49 juta yang sudah berdaftar. Jumlah mereka yang sudah menerima vaksin di Johor pula sebanyak 6.4% iaitu 182,003 daripada populasi,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.