Mohamad berharap Insentif Pemerkasa Tambahan Dilaksanakan Segera Dengan Telus, Amanah Dan Cekap

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berharap agar segala insentif Pemerkasa Tambahan yang diumumkan akan segera dilaksanakan tanpa berlengah, dengan telus, amanah dan cekap.

Kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itum, Pemerkasa Tambahan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi adalah langkah penting yang sangat diperlukan.

Ulasnya dalam satu kenyataan hari ini, meningkatkan kapasiti kesihatan awam adalah intervensi kritikal pada masanya di mana negara sangat memerlukan lebih banyak unit rawatan rapi (ICU), sumber tenaga dan program vaksinasi.

“Menyedari kekangan fiskal kerajaan, amatlah penting setiap sen peruntukan untuk peningkatan kapasiti sektor kesihatan awam ini dimanfaatkan dengan telus dan mendatangkan impak sebaiknya.

“Kita tidak mahu pelaksanaannya nanti terjadi ketirisan, ketidakcekapan sistem serta pembaziran.

“Peruntukan yang banyak mesti mendatangkan impak berganda. Kita mesti mengambil pengajaran dari pembangunan sistem pendaftaran vaksinasi, yang walaupun besar tetapi tidak berfungsi dengan baik dan menimbulkan kesusahan kepada rakyat,” ujarnya lagi.

Seterusnya kata bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, penerusan Bantuan Prihatin Rakyat juga sangat bertepatan dengan keadaan semasa.

“Kerajaan sedaya upaya berusaha meluaskan bantuan ini kepada seramai mungkin rakyat.
Mungkin strategi ini boleh diperbaiki dengan memastikan golongan paling terjejas menerima lebih banyak bantuan.

“Ekuiti dalam pengagihan bukan bermakna semua mendapat bantuan yang saksama. Mereka yang memerlukan lebih wajar menerima lebih banyak dan yang kurang terjejas, menerima sekadarnya,” katanya.

Tambahnya lagi, keputusan Jemaah Menteri untuk tidak mengambil gaji bagi tempoh tiga bulan adalah disambut baik.

“Namun ia janganlah sekadar gaji. Ia mesti termasuk pelbagai elaun dan imbuhan keraian yang selalunya lebih banyak dan tinggi, mengatasi gaji para menteri.

“Kepimpinan melalui teladan dalam saat krisis segenting ini adalah kemestian yang sepatutnya telah lama dipamerkan,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.