MN Selangor Desak Industri Arak Tidak Beroperasi Dalam Tempoh PKP

SHAH ALAM, 1 Jun – Muafakat Nasional (MN) Selangor menuntut pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) agar menyemak semula status kilang-kilang arak yang diletakkan di bawah kategori perkhidmatan perlu dan dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ‘lockdown’ dari 1 Jun sehingga 14 Jun 2021.

Dalam satu kenyataan bersama Pengerusi MN negeri Tan Sri Noh Omar dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, kilang dan pengeluaran arak sangat tidak munasabah dikategorikan sebagai pembuatan perlu sebagaimana makanan dan minuman lain, dan sepatutnya ditutup dan tidak beroperasi sepanjang tempoh PKP ini sebagaimana industri ‘non-essential’ yang lain.

“MN Selangor berpandangan pada waktu kita berusaha dan berikhtiar memutuskan rantaian pandemik COVID-19 ini, jangan sekali-kali kita membuka pintu dan ruang kemurkaan Allah SWT. Langkah ini diyakini didukung oleh umat Islam dan rakyat Malaysia khasnya di negeri ini.

“Mewakili umat Islam dan rakyat yang prihatin, MN Selangor mendesak supaya industri arak dikeluarkan daripada senarai ekonomi yang ‘essential’ serta-merta,” kata kenyataan itu lagi.

MN Selangor juga menuntut agar kuasa menentukan sesuatu industri itu perkhidmatan perlu atau ‘essential services’ perlulah diputuskan secara kolektif oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan bukannya kuasa veto MITI agar kes seumpama kilang arak ini tidak berulang. – UMNO ONLINE