Kejayaan ‘Lockdown’ Bergantung Kepada Semua Pihak – Armand

KUALA LUMPUR, 1 Jun  – Kini adalah masa yang terbaik untuk kita putuskan rantaian penyebaran COVID-19, tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah.

Katanya, banyak penambahbaikan dibuat berdasarkan pengalaman ketika ‘lockdown’ 1.0 dahulu.

“’Lockdown’ 2.0 kini ianya bergerak seiring dengan memberikan ruang kepada beberapa sektor ekonomi untuk bergerak terutama sektor servis (keperluan).

“Kita kena bezakan ‘lockdown’ 1.0 dan ‘lockdown’ 2.0 terkini , bezanya adalah ketika ‘lockdown’ 1.0 seluruh dunia masih belum ada vaksin lagi, tetapi kini ‘lockdown’ 2.0 negara kita sudah gerakkan program vaksinasi kebangsaan.

“Atas dasar itu ada kelonggaran diberikan pada beberapa sektor ekonomi (keperluan) untuk bergerak seiring bagi menggerakkan ekonomi dalam negara agar tidak terus terhenti. Seterusnya tidak merencatkan kenaikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang perlu dikawal,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online hari ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang turut menggesa pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) khususnya menteri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan mengapa diberikan kelulusan untuk sebuah kilang minuman keras dibenarkan beroperasi ketika dikuatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh kini.

Berhubung dengan program vaksinasi, tambah beliau lagi, negara kini mencapai 100,000 orang sehari diberikan vaksinasi dan akan terus dipertingkatkan serta kini sudah dibuka ruang dan peluang kerjasama bersama sektor swasta terutama klinik-klinik swasta.

“Kini masa kita sama-sama harus bertanggungjawab seiring dengan pihak kerajaan untuk kita putuskan rantaian penyebaran COVID-19, jika kita tidak jujur dan tidak mahu turut serta bersama majoriti rakyat Malaysia ini hanya akan membuat negara kita terus dalam situasi masalah COVID-19.

“Semuanya bermula daripada diri kita dahulu. jangan kita menunding jari cari kesalahan orang jika kita sendiri tidak mahu berubah demi keselamatan dan kesejahteraan negara Malaysia,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.