Kategori Taraf Kehidupan Rakyat Perlu Diubahsuai Berdasarkan Keperluan Semasa

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Zahida Zarik Khan berpandangan kategori-kategori taraf kehidupan rakyat iaitu B40, M40 dan T20 harus diubahsuai untuk mencerminkan realiti kehidupan semasa.

Katanya, bancian sara hidup yang digunapakai telah lapuk memandangkan kos sara hidup telah banyak berbeza sejak kebelakangan ini dengan harga barangan keperluan mencanak naik sejak awal tahun ini malahan pendapatan M40 sudah seperti kumpulan B40.

“Kita menyantuni dan mengucapkan berbanyak terima kasih di atas pengumuman PM (Perdana Menteri – Tan Sri Muhyiddin Yassin) semalam tentang beberapa bantuan yang akan diberi kepada rakyat mulai akhir Jun ini, tetapi ianya terhad kepada golongan B40 sahaja.. Bagaimana golongan M40 dan juga T20?

“Pada hemat saya keperluan T20 mungkin berbeza dengan B40. Mereka tergolong di kalangan pengusaha-pengusaha syarikat yang akan membayar gaji kepada pekerja-pekerja mereka (B40 dan M40).

“Keperluan kepada moratorium sangat-sangatlah diperlukan terutama kepada mereka yang tidak dibenarkan beroperasi dalam masa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Ulasnya lagi, golongan T20 juga harus disantuni agar mereka terus dapat beroperasi selepas PKP ini tamat.

“Bagi golongan M40 pulak, mereka dah tak banyak beza dengan B40 dulu. Mengikut rekod rasmi, walaupun mereka masih tergolong di kalangan M40 tapi hakikatnya mereka telah tergolong dalam B40.

“Treshhold atau tahap kelayakan untuk melayakkan mereka menerima pelbagai bantuan seperti diumumkan kerajaan harus dinaikan agar dapat merangkumi mereka ini,” gesanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.