Jayakan ‘Total Lock Down’, Vaksinasi… Usah Tuding-Menuding Antara Satu Sama Lain – Azhari

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Ketua UMNO Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata ‘total lockdown’ yang bermula hari ini perlu dijayakan sebaik mungkin oleh pelbagai pihak termasuklah melicinkan segala bentuk bantuan yang diumumkan untuk kepentingan rakyat.

Pada masa yang sama beliau turut berpandangan usaha untuk menjayakan vaksinasi juga perlu digerakkan dengan lebih menyeluruh supaya ianya berjalan lancar sebaiknya.

“‘Total lockdown’ bermula hari ini. Semalam bantuan prihatin pun sudah diumumkan. Harapan kita ‘lockdown’ dan bantuan tersebut dapat dijayakan dengan sempurna.

“Pandemik COVID-19 sudah diterima menjadi ujian dari Yang Maha Berkuasa. Seharusnya kita fokus untuk mendapatkan vaksin selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Tidak perlu merayau ke hulu ke hilir ke darat dan ke baruh tanpa urusan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Beliau seterusnya menambah mana-mana pihak juga tidak perlulah mengambil sikap menyalahkan antara satu dengan yang lain.

“Kita juga tidak perlu menyalahkan sesiapa apabila diturunkan ujian yang menjangkau hampir dua tahun. Jika tiada perkara elok untuk dibuat FB (Facebook) ‘live’ eloklah masa yang ada digunakan untuk membaca Al-Quran dan berdoa agar COVID-19 dan variannya diangkat terus dari mukabumi.

“Tuding menuding jari kepada mana-mana pihak bukan boleh menyelesaikan masalah malahan menambah masalah. 14 hari fasa pertama ‘lockdown’ penuh ini sememangnya kritikal walaupun kes semakin turun. Satu nasihat saya… Duduk di rumah,” tambahnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.