Total Lockdown Mengelirukan, Harap Pengumuman PM Penuhi Aspirasi Rakyat – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaksanaan ‘total lockdown’ kerajaan bermula 1 Jun 2021 agak mengelirukan.

Ini kerana katanya, diisytihar sebagai ‘total lockdown’, tetapi macam bukan ‘total lockdown’.

“Tidak pasti pun sama ada ia layak digelar ‘total lockdown’. Mungkin ‘semi lockdown’ lebih sesuai,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal tersebut menerusi laman facebooknya, hari ini.

Apapun ujarnya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), rakyat memang agak terkeliru kerana yang dilaksanakan tidak seperti diumumkan.

“Jumaat lalu kerajaan sendiri mengumumkan akan melaksanakan ‘total lockdown’.
Kerajaan umum ‘total lockdown’ adalah ‘penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial’.

“Namun mungkinkah Makcik Kiah dan Pakcik Salleh masih terpaksa keluar rumah untuk mencari wang? Mungkinkah masih ramai abang, kakak, adik kita perlu keluar bekerja kerana banyak premis dibuka?

“Wallahualam kerana pengumuman bantuan kerajaan untuk rakyat hanya akan diumumkan pada malam ini.”

Jelasnya, jika ada bantuan secukupnya mungkin mereka sendiri mengambil inisiatif untuk ‘self lockdown’.

“Justeru saya amat berharap pengumuman oleh Perdana Menteri sebentar lagi memenuhi aspirasi semua rakyat.

“Walaupun bukan digelar ‘Bantuan Total Lockdown’ sebaliknya ‘Bantuan PKP 3.0’, semoga ia menenuhi segenap saranan dan seperti yang semua pihak mahukan.

“Termasuk saranan yang dibuat oleh saya, pemimpin BN dan UMNO serta rakyat kebanyakan keseluruhan.”

Ujarnya lagi, tanpa bantuan yang mencukupi ibarat rakyat diminta untuk ‘berperang tanpa senjata’, maka mana mungkin mampu mencapai kemenangan? – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.