Jadikan Ujian COVID-19 Amalan Baharu, Pantau Harga Mudahkan Rakyat Tahu – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan mass testing atau saringan massa bagi mengawal penularan wabak COVID-19.

Katanya, ini kerana kajian daripada The Institute for Health Metrics and Evaluation (IHME) sebuah entiti penyelidikan kesihatan global yang berpangkalan di University of Washington meramalkan pada 1 September ini Malaysia bakal berhadapan dengan 26 ribu kematian kumulatif .

“IHME juga meramalkan senario terburuk 420 kematian sehari menjelang 1 September dengan keperluan 4388 ruang Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Semua data-data ini sangat menggerunkan. Kita mesti berazam untuk mengelakkan senario ini terjadi. Salah satu pendekatan terpenting bagi mengelakkan senario terburuk ini selain vaksinasi ialah mass testing.

“Kita mesti mempertingkatkan ianya skala radikal, beberapa perkara mungkin boleh kerajaan pertimbangkan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah Mohamad, bagi menggalakkan saringan massa ini dilakukan secara meluas, harga Rapit Test Kit (RTK) dan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR) ini perlu dikawal untuk memudahkan rakyat melakukan ujian ini bagi mengetahui status kesihatan masing-masing.

“Turunkan segera harga untuk ujian saringan rRT-PCR dan RTK, harga saringan yang terlalu tinggi membantutkan pengawalan wabak ini.

“Janganlah ada pihak yang mengaut keuntungan dari musibah yang trajis ini kerana pembatasan harga ujian ini akan menjadikan saringan mudah murah dan sesuai kemampuan.

“Ini adalah cara paling mudah untuk mengesan kes positif dan mengawal penularan. Dengan saringan, kita boleh menggalakkan lebih banyak isolasi kediri di rumah dan mendapat rawatan awal jika perlu,” tegas beliau.

Beliau turut mengambil contoh negara barat yang menyediakan kit ujian saringan yang banyak dan murah serta boleh dilakukan secara kendiri.

“Malah dengan kemajuan teknologi, ketepatan ujian RTK telah meningkat dengan sangat baik. Kerajaan boleh mengemblingkan kepakaran pemain perniagaan terbaik Malaysia untuk menghasilkan RTK kit pada harga paling murah untuk keperluan umum. Inilah masanya kita menggunakan sumber pelbagai sektor lain untuk memerangi wabak ini.

“Malaysia mesti menjadikan ujian saringan ini sebagai suatu kebiasaan baru. Di negara seperti Jerman, kebanyakan keluarga melakukan testing kendiri sebanyak dua kali seminggu. Malah dengan testing menjadi kebiasaan, sekolah dan universiti boleh secara perlahan dibuka.

“Semua pelajar boleh melakukan testing kendiri setiap hari Ahad atau Isnin sebelum memulakan persekolahan. Pendemik ini adalah peperangan yang mesti dimenangi oleh semua. Mengabaikan testing tidak akan membantu mengurangkan kebolehjangkitan,” katanya. –UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.