Total Lockdown, Berapa Sebenarnya Kerajaan Belanja?

SAYA tidak pasti apa lagi yang kerajaan sedang tunggu sebelum umum lockdown seluruh negara.

Dengan sekatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kesukaran bergerak, adalah lebih baik rakyat disuruh duduk saja di rumah daripada menghadap kesesakan berjam di jalan raya.

Tapi suka atau tidak, rakyat kena keluar juga. Suka atau tidak, boss suruh datang pejabat juga.

Begitu juga saya tidak faham kenapa kerajaan terlalu susah nak keluarkan peruntukan bagi memastikan kebajikan rakyat terjaga.

Alasannya kita tidak ada wang. Alasannya hari tu sudah beratus bilion kerajaan belanja.

Belanja apa? Ratus bilion itu duit kita. Bukan duit kerajaan. Tunai kerajaan yang masuk ke dalam pasaran dalam pakej rangsangan adalah sekitar RM70 bilion saja. Itupun yang dapat manfaat besar adalah kilang-kilang yang mempunyai ratusan pekerja.

Kalau tidak ada duit, keluarkan saja bon. Bukak Parlimen sekejap bagi luluskan kenaikan had hutang negara. Tambahan 10% sahaja had hutang akan membolehkan kerajaan mendapat tambahan tunai RM150 bilion.

Lockdown sebulan tak memerlukan RM150 bilion pun. Cukup bantuan RM1,500 kepada 7 juta ketua keluarga, subsidi upah RM1,000 kepada 5 juta pekerja bergaji rendah dan insentif RM1,000 kepada 907,000 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) seluruh negara.

Semua itu tak sampai pun RM16.4 bilion.

Sekurang-kurangnya dengan lockdown, kita akan dapat mengurangkan keletihan petugas kesihatan, memberikan nafas kepada barisan hadapan dan memastikan program vaksinasi yang sekarang ini semakin baik (hampir 100 ribu dos sehari) berjalan tanpa halangan.

Pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) – as good as it sound – biarlah menjadi pilihan paling akhir. Biarlah kerajaan pula yang lebih bertanggungjawab memberikan tunai kepada rakyat dan bukannya sampai rakyat terpaksa mendesak untuk mengorek tabung mereka buat kali ketiga.

Suka atau tidak RM78 bilion telah dikeluarkan oleh KWSP bagi i-Sinar dan i-Lestari sepanjang tahun ini. Sedangkan kebiasaannya tunai di tangan KWSP hanyalah sekitar RM50 bilion sahaja pada satu-satu masa. Selebihnya telah dilabur pada ekuiti saham dan pelaburan fizikal.

Sekiranya mahu dikorek lagi, maka ekuiti ini terpaksa dicairkan. Dalam keadaan Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) sedang merudum, harga saham yang rendah dan pelabur luar pula melarikan diri, menjual ekuiti akan menjadi satu perkara yang merugikan.

Ingat rumus ini. Apabila ekonomi jatuh, maka pelabur akan berpusu membeli bon / sukuk (kerana dividennya tetap). Apabila ekonomi naik, maka pelabur akan berpusu membeli saham pula (kerana keuntungannya berganda).

Kadang-kadang saya tidak faham apa yang kerajaan masih fikir sebenarnya. Takkan nak tunggu mayat tergolek atas jalan baru nak sedar masalah kita?

—-
Abdul Rahim Hilmi Zakariya
Kuala Terengganu

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.