Tubuhkan Jawatankuasa Siasat Tuduhan KPN, Jangan Peluk Tubuh Sahaja

SEREMBAN, 1 Mei – Tuduhan yang dilemparkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador mengenai campurtangan politik di dalam pasukan polis harus diberi perhatian serius oleh kerajaan, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir.

Katanya, meskipun maklum bahawa Abdul Hamid Bador itu sendiri dilantik semula menyertai pasukan polis menerusi campurtangan politik ketika zaman Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, namun tuduhannya itu perlu disiasat demi memulihkan kembali imej pasukan keselamatan nombor satu negara itu.

“Campur tangan daripada perdana menteri dalam isu ini adalah amat diperlukan kerana yang dituduh tidak berintegriti adalah menteri di dalam Kabinet beliau. Apatah lagi menteri tersebut bertatus Menteri Kanan yang dilihat rapat dengan Perdana Menteri.

“Justeru, Perdana Menteri tidak boleh lagi berdiam diri dan mengabaikan isu ini tanpa sebarang tindakan. Kerana ini adalah kali pertama dalam sejarah negara wujudnya krisis di antara kepimpinan kanan pasukan polis dan menteri yang bertanggungjawab menjaga portfolio keselamatan dalam negeri.

“Jadi, selesaikanlah isu ini. Jangan hanya berpeluk tubuh,” gesanya dalam satu kenyataan hari ini.

Cadangnya juga, untuk memulihkan semula imej kerajaan dan pasukan polis, hendaklah djwujudkan satu jawatankuasa siasatan bagi menyiasat setiap tuduhan yang dilemparkan.

“Sementara siasatan dibuat, menteri bertanggungjawab dan Tan Sri Abdul Hamid harus digantung tugas bagi membolehkan siasatan dibuat secara adil dan telus. Manakala pelantikan Ketua Polis Negara yang baharu perlu ditarik semula dan digantung dahulu pelantikan itu sementara siasatan dilakukan.

“Siasatlah sedalam-dalamnya. Kerana rakyat mahu tahu kebenaran samada benar atau tidak tuduhan yang dilemparkan. Rakyat juga tidak mahu pasukan polis diperkotak-katikkan seperti mana yang berlaku sejak kebelakangan ini.

“Maka, buatlah yang terbaik kerana ini semua melibatkan maruah Kerajaan dan maruah pasukan Polis. Perdana Menteri harus ambil perhatian serius. Jangan pekakkan telinga,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.